Berita Utama

‘Unboxing isteri’: Jabatan mufti nasihat cukuplah simpan untuk rekod peribadi

Allah SWT perintah suami isteri lindung keaiban satu sama lain

BANGI, 11 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Jabatan Mufti Perak menasihatkan pasangan pengantin untuk menyimpan detik-detik manis raja sehari sebagai rekod peribadi dan bukan dijadikan tatapan umum.

Ini kerana, Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 187 telah memerintah suami isteri melindungi keaiban antara satu sama lain, bahkan  Rasulullah  ﷺ juga mengecam suami yang mendedahkan perlakuan dan rahsia sulit yang berlaku antara pasangan.

Oleh demikian, jabatan itu berkata, para suami sebagai ketua keluarga seharusnya perlu berhati-hati dengan sikap isteri mahupun anak-anak supaya tingkah laku, akhlak serta budi pekerti mengikut syariat ditetapkan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah ﷺ bagi meraih keluarga mawaddah dan rahmah.

“Mutakhir ini, kita disajikan dengan video-video yang tular di media sosial di mana ia memaparkan pengantin lelaki sedang menanggalkan aksesori perkahwinan yang dipakai oleh pengantin perempuan seperti mahkota pengantin, sanggul lintang dan gandik ataupun disebut sebagai ‘unboxing pengantin’.

“Aksi ini telah menjadi bualan dan mendapat respon daripada pelbagai pihak,” kata jabatan mufti dalam kenyataan, hari ini.

Secara am, seorang isteri adalah hak mutlak bagi suaminya dan suaminya pula berhak melakukan apa sahaja yang dikehendakinya selagi mana tidak bertentangan dengan hukum syarak.

“Dalam isu ini, Islam sama sekali tidak melarang apa sahaja perbuatan yang dilakukan antara suami dan isteri.

“Menjadi kebiasaan kepada pengantin baru untuk merakam dan bergambar pada waktu-waktu dan detik-detik indah sebagai raja sehari. 

“Biarlah detik-detik manis tersebut disimpan sebagai rekod peribadi dan bukanlah dijadikan sebagai tatapan umum,” katanya.

Trend ‘unboxing by husband’ tular di laman TikTok sejak kebelakangan ini, kononnya sebagai upacara pengantin lelaki membuka atau menanggalkan aksesori pada bahagian kepada pengantin perempuan.

Perbuatan berkenaan mencetuskan rasa kurang senang dan kritikan dalam kalangan warga media sosial terhadap perkongsian video trend itu – yang boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button