Dunia

UNRWA gesa remaja Palestin tenat di penjara Israel dibebaskan

Amal Nakhleh dikurung dalam tahanan pentadbiran hampir setahun

GENEVA, 11 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Agensi Kerja dan Bantuan Pelarian Palestin (UNRWA) menggesa negara haram Israel segera membebaskan remaja Palestin yang kini dilaporkan tenat dalam tahanan pentadbiran rejim itu.

Amal Muamar Nakhleh, 17, dari kes Jalazone ‘dikurung’ oleh tentera penjajah Israel selama enam bulan pada 21 Januari 2021.

Penahanan itu kemudiannya dilanjutkan semalam empat bulan lagi pada Mei tahun lalu, dan sekali lagi pada September 2021 untuk tempoh empat bulan seterusnya.

UNRWA dalam satu kenyataan berkata, apabila lanjutan semasa tamat pada 18 Januari ini, Amal akan berada di penjara untuk tempoh setahun dan tidak lagi dianggap bawah umur kerana berusia 18 tahun.

Sehingga kini, Amal mahupun keluarganya tidak mengetahui bentuk pertuduhan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel, dan mendakwa kononnya ia adalah kes pentadbiran sulit.

Pasukan undang-undang Amal menyatakan bahawa kes itu adalah antara kes pentadbiran kanak-kanak yang paling panjang pernah berlaku.

Remaja itu dilaporkan lahir pramatang dengan diagnosis penyakit autoimun yang teruk iaitu myasthenia gravis.

Keadaan Amal memerlukan rawatan dan pemantauan perubatan yang berterusan, malah beberapa bulan sebelum penahanannya, remaja itu menjalani pembedahan untuk membuang sel kanser.

Disebabkan keadaan kesihatan Amal tidak boleh divaksinasi COVID-19 dan mesti mengambil ubat penahan imun, bermakna nyawanya kini berisiko tinggi jika dijangkiti virus itu.

Atas dasar itu, UNRWA Tebing Barat mendesak Amal Nakhleh dibebaskan segera daripada tahanan pentadbiran atas dasar kemanusiaan, dan tidak sewenang-wenangnya memenjarakan kanak-kanak bawah umur.-

Umum mengetahui bahawa penjara Israel tidak sesuai untuk merawat dan memantau penyakit autoimun, apatah lagi memberikan perlindungan mencukupi terhadap wabak COVID-19.

Ketika prosiding mahkamah tentera beberapa hari lalu, salah seorang daripada ahli keluarga Amal dibenarkan berjumpa dengannya dan mendapati keadaan kesihatan remaja itu semakin merosot kerana mengalami kesukaran bercakap serta bernafas.

Malah ketika perbicaraan mahkamah, Amal memaklumkan kepada hakim bahawa dia akan memulakan mogok lapar jika penahanan pentadbirannya dilanjutkan, dan langkah itu berisiko membahayakan keadaan kesihatannya.

Keputusan lanjutan penahanan pentadbirannya dijadualkan pada Selasa ini. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button