Dunia

90 peratus rakyat Syria hidup bawah paras miskin: PBB

7.78 juta rakyat tiada akses perubatan akibat putus sokongan dana

GENEVA, 12 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa 90 peratus rakyat Syria kini hidup di bawah paras kemiskinan.

Manakala, 60 peratus lagi rakyat di negara bergolak itu mengalami masalah kekurangan makanan, kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Dalam laporan yang dibentangkan kepada Majlis Keselamatan pada Khamis, Guterres berkata, sebanyak 7.78 juta rakyat Syria tidak mempunyai akses kepada jumlah minimum doktor dan kakitangan perubatan yang diterima di peringkat antarabangsa.

Laporan itu menekankan mengenai keperluan usaha untuk melanjutkan mekanisme bantuan kemanusiaan rentas sempadan selama tempoh enam bulan lagi.

Malah, Pasukan Penyelaras Respons Syria dalam satu kenyataan turut memberi amaran, bahawa 18 kemudahan perubatan yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 1.5 juta orang awam di barat laut Syria telah terputus sokongan.

Sehubungan itu, pasukan berkenaan menggesa semua penderma kepada sektor perubatan di utara Syria untuk mengembalikan sokongan dana bagi kemudahan terbabit, memandangkan risiko gelombang baharu terhadap COVID-19 di wilayah tersebut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button