Berita Utama

ADUN DAP dakwa diberi minuman ‘aneh’

Berkunjung ke kelab malam atas undangan rakan

BANGI, 12 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu mendakwa, dirinya dihidangkan dengan minuman ‘aneh’ sebelum ditahan polis dan disyaki positif dadah dalam serbuan di sebuah kelab malam di Pulau Pinang, kelmarin.

ADUN DAP dalam kenyataan kepada polis menjelaskan, kunjungannya ke kelab malam berkenaan atas undangan rakannya.

Namun, pada awalnya beliau mengakui teragak-agak untuk memasuki ke premis terbabit, sebelum akur.

“Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang. Saya terkejut apabila dimaklumkan ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak.

“Saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’ saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit.

“Saya juga dimaklumkan ketika ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya,” katanya seperti dipetik Utusan Online, hari ini.

Selepas dibebaskan polis, beliau terus membuat laporan polis bagi membela diri dan mendedahkan dirinya terhadap anasir yang mencurigakan.

Malah dalam laporan, beliau turut menamakan beberapa saksi kejadian.

“Saksi tersebut telah dipanggil dan memberi kenyataan kepada polis serta mengesahkan apa yang dia lihat.

“Berikutan dengan ini, saya telah memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramaran saya kepada pihak polis sebelum membuat kesimpulan mereka sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, pemimpin DAP tersebut nekad mahu membersihkan namanya selain mempertahan diri beliau yang tidak bersalah.

“Saya akan mempertahankan diri bagi membuktikan saya tidak bersalah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button