Berita UtamaDunia

Filipina belanja AS$375 juta beli sistem peluru berpandu India

Projek memodenkan peralatan, halang kapal asing ceroboh EEZ

MANILA, 12 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Filipina memuktamadkan perjanjian bagi memiliki sistem peluru berpandu anti kapal buatan India yang bernilai AS$375 juta bagi meningkatkan keupayaan pasukan ketenteraan maritim negaranya.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana berkata, di bawah perjanjian berkenaan dengan kerajaan India, BrahMos Aerospace Private Ltd akan menghantar peralatan tersebut.

“Antaranya tiga bateri, operator kereta api dan penyelenggaraan selain menyediakan sokongan logistik bagi pembelian tersebut.

“Filipina kini berada di peringkat akhir projek lima tahun bagi memodenkan kesemua peralatan ketenteraan negara termasuk kapal perang yang dimiliki sejak Perang Dunia Kedua yang pernah digunakan Amerika Syarikat (AS) dalam Perang Vietnam,” katanya.

Tambah Lorenzana, Manila bakal menjadi negara pertama yang membeli peralatan berkenaan dari India.

BrahMos merupakan syarikat usaha sama antara India dan Russia yang membangunkan peluru berpandu pelayaran terpantas di dunia.

Sistem anti kapal baharu itu bertujuan untuk menghalang kapal asing daripada menceroboh zon ekonomi eksklusif (EEZ) sepanjang 200 batu nautika (370 kilometer) negara.

“Ia sebahagian daripada pertahanan wilayah kami,” kata jurucakap Angkatan Tentera Filipina, Kolonel Ramon Zagala.

Pada 2018, Filipina membeli peluru berpandu Spike ER buatan negara haram Israel, yang pertama membabitkan sistem peluru berpandu bawaan kapal untuk pertahanan maritim. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button