Berita Utama

Khairuddin istiqamah meskipun digugur AJK PAS Pusat

Akan beri tumpuan kepada tugas Majlis Syura Ulama

BANGI, 12 Jamadilakhir 1443H, SabtuAhli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan terus beristiqamah dalam melaksanakan tugasan parti walaupun namanya digugurkan.

Katanya, tugas beliau tidak berhenti di situ sahaja sebaliknya akan menumpukan komitmen membantu parti menerusi Majlis Syura Ulama PAS.

“Saya akan terus istiqamah melaksanakan tugas parti yang lain walaupun tanpa memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

“Saya akan menumpukan tugas dalam Majlis Syura Ulama selepas ini,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Semalam, Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi digugurkan daripada jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, kurang dua bulan selepas dilantik memegang jawatan tersebut

Perkara itu diumumkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas dimuktamadkan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung di Kuala Lumpur, Rabu lepas.

November tahun lalu, ketika pemilihan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada muktamar PAS ke-67, beliau antara tiga pemimpin tertinggi parti dilantik semula sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2021-2023.

Dua lagi yang dipilih semula menduduki Ahli Jawatankuasa PAS Pusat selepas tewas pada pemilihan parti adalah Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button