Dunia

Omicron: Kanak-kanak, bayi lebih berisiko masuk hospital

Kajian dapati ada peningkatan berlaku dalam tempoh 4 minggu terakhir

LONDON, 12 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Kanak-kanak dan bayi lebih berisiko dimasukkan ke hospital akibat varian Omicron berbanding peringkat umur lain, namun masih dalam skala bergejala ringan, menurut kajian di Britain.

Omicron telah merebak dengan pantas di Britain dan mencetuskan lonjakan dalam kes jangkitan kepada rekod tertinggi, walaupun varian itu kurang serius berbanding sebelumnya selain kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan dewasa turut membantu mengehadkan peningkatan kemasukan ke hospital.

Kajian itu berkata, golongan kanak-kanak kurang terdedah COVID-19 berbanding individu dewasa yang lebih berusia.

Kajian yang dikeluarkan pada Jumaat itu mendapati terdapat peningkatan kadar kanak-kanak dimasukkan ke hospital dalam tempoh empat minggu terakhir, termasuk membabitkan bayi di bawah usia setahun.

Daripada jumlah kanak-kanak dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 itu, 42 peratus dilaporkan berada di bawah usia setahun, berbanding sekitar 30 peratus dalam gelombang sebelumnya – penyelidik menekankan bahawa penyakit itu ringan.

“Ini bukan kes bayi yang sangat sakit. Malah, kemasukan mereka (ke hospital) adalah untuk jangka masa yang singkat,” kata Profesor Kesihatan Kanak-Kanak dan Perubatan Wabak Universiti Liverpool, Calum Semple.

Semple berkata, vaksinasi ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas mungkin menjadi faktor penurunan kadar kemasukan ke hospital bagi kumpulan usia berkenaan.

Bagaimanapun, Profesor Kesihatan Kanak-Kanak dan Remaja, Rusell Viner berkata, trend itu mungkin sebahagiannya adalah kerana gejala Omicron menyerupai keadaan pernafasan yang mendorong ibu bapa membawa bayi mereka ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Justeru, katanya, data yang dikeluarkan daripada kajian itu disifatkan masih terlalu awal dan berkemungkinan berubah.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button