Berita Utama

Pengambilan pekerja asing dibuka secara berperingkat akhir bulan ini

Pusat kuarantin Lembah Klang terhad, KSM buka kepada pihak berminat tawar khidmat kuarantin

BANGI, 12 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Permohonan pengambilan pekerja asing bagi sektor dibenarkan akan dibuka secara berperingkat mulai akhir bulan ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, permohonan bagi pengambilan seramai 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas akan dibuka, mulai 28 Januari ini.

“Permohonan pekerja warga asing bagi sektor lain yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing termasuk sektor perladangan tanpa pengecualian khas akan mula dibuka pada 15 Februari ini.

“Mesyuarat jemaah menteri pada 10 Disember lalu, bersetuju untuk pengambilan pekerja asing dalam sektor dibenarkan bagi penggajian pekerja asing.

“Permohonan boleh dibuat majikan di laman sesawang www.fwcms.com.my,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau bagaimanapun mengingatkan majikan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja warga asing ditetapkan kerajaan.

Katanya, ia merangkumi empat fasa iaitu prapelepasan, ketika dan selepas ketibaan serta pascakuarantin.

“Semua pekerja asing perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari dan dua kali ujian saringan COVID-19 dalam tempoh tersebut yang akan ditanggung majikan,” katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, semua pusat kuarantin dan hotel bagi tujuan kuarantin berada di Lembah Klang dengan kapasiti seramai 10,000 pada satu-satu masa.

Justeru, Kementerian Sumber Manusia mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkan khidmat sebagai pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin.

Bagaimanapun beliau menegaskan, ia perlu mematuhi syarat dan kriteria ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button