Berita Utama

Polis lengkapkan kertas siasatan ADUN Perak

ADUN itu telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam

BUKIT MERTAJAM, 12 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perak kerana positif dadah, dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, di sini dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata pihaknya ketika ini sedang menunggu laporan daripada patologi, berhubung sampel air kencing ADUN berusia 54 tahun berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“ADUN itu telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam, kami sekarang ini sedang tunggu laporan daripada patologi untuk melengkapkan kertas siasatan kes itu, dan seterusnya ia (kertas siasatan) akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam Bernama melaporkan polis Pulau Pinang mengesahkan menahan seorang ADUN dari Perak kerana positif dadah, dalam pemeriksaan pada 9 malam di pusat hiburan berkenaan dan turut ditahan 35 pengunjung lain kerana kesalahan yang sama.

Sementara itu, Mustafa Kamal berkata dua anggota polis masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Perak yang turut ditahan dalam serbuan berkenaan kerana positif dadah juga sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya semua 36 individu yang ditahan kerana positif dadah dalam serbuan itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button