Berita Utama

PPMM bantu remaja dimandikan seperti ‘jenazah’ lantik peguam

Prosiding semakan jenayah ditetapkan 17 Januari

BANGI, 12 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Remaja disyaki mencuri tabung masjid yang tular baru-baru ini, Daniel Iskandar, 19, telah melantik peguam dari firma Tetuan Hariz Syakinah & Co untuk mewakili dirinya.

Perkara tersebut didedahkan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mengakui usaha melantik peguam dari firma tersebut dilakukan dengan bantuan pihaknya.

“PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co telah mendapat makluman berhubung satu prosiding semakan jenayah yang telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di Shah Alam, 17 Januari ini.

“Atas dasar tersebut dan di atas arahan untuk mewakili Daniel, maka PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co akan hadir pada hari tersebut.

“PPMM turut merujuk kepada pelbagai versi fakta dan penceritaan berkaitan latar belakang Daniel dan kejadian berkenaan, dan PPMM berpandangan situasi tidak begitu sihat dari sudut keadilan dan kepentingan Daniel, mahupun mana-mana pihak yang berkaitan untuk diteruskan di media sosial.

“Ini terutamanya dalam menghormati prosiding yang akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Daniel , remaja yang dimandikan seperti ‘jenazah’ dipercayai cuba mencuri tabung masjid dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret.

Dia dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Dalam pada itu, Zainul Rijal berkata, PPMM memberi jaminan akan mengeluarkan kenyataan penuh selepas selesainya prosiding.

Justeru, beliau memohon semua pihak untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan sehinggalah prosiding tersebut selesai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button