Dunia

Taliban lulus bajet pertama untuk Afghanistan

Peruntukan AS$524 juta meliputi suku pertama tahun 2022

KABUL, 12 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Pentadbiran Taliban meluluskan belanjawan pertamanya sejak mengambil alih Afghanistan pada Ogos lalu, menurut Kementerian Kewangan pada Jumaat.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, peruntukan sebanyak AS$524 juta buat rakyat Afghanistan akan merangkumi suku pertama tahun 2022 dan sepenuhnya untuk membiayai institusi kerajaan.

Katanya, kementerian mahu mengagihkan bajet yang diluluskan kepada semua institusi negeri secepat mungkin bagi mengelakkan gangguan dalam negara.

Menurut kementerian, kira-kira AS$478 juta dalam belanjawan itu diperuntukkan kepada institusi kerajaan dan AS$46 juta lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan yang diluluskan itu adalah yang pertama mengecualikan bantuan asing di Afghanistan selepas 20 tahun penjajahan Amerika Syarikat (AS).

Selepas Taliban berkuasa pada 15 Ogos 2021, bantuan asing kepada Afghanistan terputus, sekali gus membawa kepada cabaran ekonomi yang teruk.

Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Rizab Persekutuan AS memutuskan akses Afghanistan kepada dana antarabangsa.

Susulan itu, isu pengangguran, kemiskinan dan kebuluran mencapai tahap yang membimbangkan di Afghanistan.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) mengumumkan bahawa bilangan rakyat yang menghadapi masalah kekurangan makanan akut di Afghanistan adalah sekurang-kurangnya 18.8 juta, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 22.8 juta pada musim sejuk.

Susulan kebimbangan itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa Bank Dunia untuk segera mengeluarkan AS$1.2 bilion untuk membantu Afghanistan dan rakyatnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button