Berita UtamaIstimewa

Tuntutan 9 kerusi Makkal Sakhti dari BN tidak realistik

UMNO dianggap pengkhianat bangsa jika 'korban' kerusi Melayu pada kaum lain

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 12 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Sekali pun mahu menjaga hati rakan komponen Barisan Nasional (BN), UMNO diingatkan untuk tidak cuba menjadi murah hati mengorbankan lebih banyak lagi kerusi Melayu kepada parti berasaskan kaum lain.

Sudahlah banyak kerusi Melayu telah ‘dikorbankan’ untuk MCA dan MIC, jangan pula UMNO mendermakan lagi kawasan majoriti pengundi Melayu kepada parti Makkal Sakhti Malaysia (Makkal Sakhti) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, mana-mana kawasan majoriti Melayu wajar ditandingi oleh calon berbangsa Melayu Islam dari UMNO dan bukannya parti komponen lain.

Justeru, beliau menyifatkan tuntutan Makkal Sakhti untuk diberikan empat kerusi Parlimen serta lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada BN pada RU15 nanti, sebagai melucukan dan bersifat keanak-anakan.

“Tuntutan tidak masuk akal…ini tidak perlu dilayan sama sekali oleh BN dan UMNO kerana ia jelas bersifat ‘opportunist’ dan tidak realistik,” dakwanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Makkal Sakhti memaklumkan menyasar untuk bertanding sebanyak empat kerusi Parlimen dan lima DUN pada PRU15, susulan janji Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada parti berkenaan.

“Kami telah membuat satu resolusi dalam perhimpunan tahunan kami dan memohon empat kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN.

“Ini tidak akan menjejaskan kerusi-kerusi parti komponen BN yang sedia ada,” dakwa Presidennya, RS Thanenthiran.

Parti komponen lain di bawah BN termasuklah UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

Menyelar tuntutan parti itu, Muhammad Lukman mengingatkan BN bahawa sebarang tawar menawar dalam isu pembahagian kerusi Melayu dianggap sebagai pengkhianatan UMNO kepada kepercayaan yang diberikan oleh bangsa Melayu sejak merdeka.

“Rakyat akan terus menilai dan memerhati. Jika UMNO buat hal, tidak mustahil parti ini akan terkubur terus selepas menerima kekalahan teruk dalam PRU14 lalu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button