Berita Utama

Seorang lagi direman kes kemuka penyata akaun bank syarikat palsu

18 individu direman setakat ini

ALOR SETAR, 13 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Seorang lagi individu yang merupakan pemilik syarikat ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu pada 2018 dan 2019.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), reman terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Nur Nabilah A. Zainudin selepas SPRM membuat permohonan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi tadi.

Difahamkan, suspek dipercayai telah mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di Wilayah Utara untuk memasuki tender pada 2018 dan 2019.

Sumber memaklumkan lelaki itu ditahan pada kira-kira 3.30 petang semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberikan keterangan sekali gus menjadikan seramai 18 individu telah direman setakat ini berkaitan kes tersebut.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 12 Jun lepas, media melaporkan sebanyak 25 syarikat dikenal pasti terbabit dalam kes mengemukakan penyata akaun bank yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di sini antara 2018 dan 2019.

Sumber SPRM dipetik sebagai berkata, semua syarikat dipercayai melakukan perbuatan itu bagi melayakkan mereka mendapatkan kontrak bernilai lebih RM60 juta daripada syarikat pembersihan berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button