Berita Utama

Bahaya jika sengaja mahu dijangkiti COVID-19

Gejala setiap orang berbeza, tak bijak anggap kes mereka ringan

KLANG, 13 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menegaskan, adalah berbahaya jika terdapat individu yang cuba untuk dijangkiti COVID-19 dan varian Omicron dengan sengaja, kononnya untuk mendapat imuniti kelompok secara semula jadi.

Katanya, ‘mencari’ jangkitan bukanlah langkah kesihatan awam yang disyorkan untuk mendapatkan imuniti terhadap virus dan mengawal wabak.

“Anda tidak mahu dijangkiti COVID-19,” katanya ringkas.

Beliau juga berkata, adalah tidak bijak untuk orang ramai menganggap kes mereka adalah ringan.

“Tidak kira varian mana (COVID-19), sama ada Omicron, Delta, Alpha atau Beta.

“Jangan keluar untuk dijangkiti dengan sengaja kerana pertama, kita tidak tahu kesan COVID-19 kepada orang, sama ada tidak divaksinasi atau diimunisasi sepenuhnya (kerana simptom dan keadaan berbeza-beza).

“Kedua, kita tidak tahu risiko ‘long COVID’ (di mana gejala berterusan selama beberapa minggu atau bulan selepas diagnosis awal mereka).

“Buat masa ini, kami tahu bahawa varian Omicron adalah lebih ringan, yang mungkin merupakan satu kelebihan (dalam pengurusan wabak ini). Tetapi itu tidak bermakna anda perlu pergi ke sana dan mendapatkan Omicron,” kata Khairy.

Khairy mengulas laporan baru-baru ini yang memetik pakar virologi Afrika Selatan yang menyatakan bahawa varian Omicron boleh membantu membina imuniti kumpulan dalam masyarakat kerana kebolehtransmisiannya yang tinggi.

Berikutan itu, terdapat laporan dan penyiaran media sosial mengenai orang yang mencadangkan idea sengaja bergaul dengan orang yang dijangkiti untuk mendapatkan COVID-19 dan menyingkirkan penyakit itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button