Berita Utama

BERJASA Perak kecam tindakan batal notis usir 19 tokong dalam gua

Jelas dibina secara ceroboh, namun gesaan MCA buat pejabat tanah ubah keputusan?

IPOH, 13 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Parti BERJASA Perak mengecam keputusan pembatalan notis pengusiran ke atas 19 tokong dalam gua di sekitar daerah Kinta, Perak. 

Pengerusi Badan Perhubungan BERJASA Negeri Perak, Shaharuzzaman Bistaman berkata, keputusan Pejabat Tanah dan Galian Perak pada awalnya sudah cukup jelas menandakan tanah yang didirikan adalah hak milik kerajaan. 

Katanya, ia bermakna tokong yang dibina tersebut jelas sekali telah menceroboh dengan wewenangnya.

“BERJASA Perak mengambil maklum insiden penarikan balik surat perintah pengusiran yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian negeri Perak kepada 19 tokong yang dibina di atas tanah hak milik kerajaan.

 

“Lebih malang lagi, keputusan penarikan balik ini dibuat oleh Pejabat Tanah dan Galian Perak rentetan dari desakan dan dialog yang dibuat oleh parti politik MCA dan pihak kuil tanpa sebarang alasan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan. 

Berikutan itu, BERJASA menggesa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bertegas dalam isu ini dan akur dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian negeri Perak.

“BERJASA Perak memandang insiden ini sebagai rentetan siri pencerobohan berpuluh-puluh ribu hektar tanah hutan simpan dan tanah-tanah rizab. 

“Amat malang sekali apabila isu ini diambil enteng tanpa tindakan yang tegas dari pihak berkuasa,” katanya.

Atas dasar itu, BERJASA dengan penuh komited menubuhkan sebuah badan bertindak untuk isu tanah ini dikenali sebagai Sekretariat Pertahankan Tanah Rakyat. 

“Bagi pihak Sekretariat, kami mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk badan badan NGO untuk berdiri bersama dalam isu ini dan boleh menghubungi Shaharuzzaman di talian 0195715334,” katanya. 

Sebelum ini, Pengerusi MCA Perak, Dr Mah Hang Soon berkata, notis pengusiran yang disampaikan ke atas 19 tokong dalam gua di daerah Kinta di Perak telah dibatalkan.

Mah mendakwa, keputusan itu dibuat oleh Pejabat Tanah dan Galian Perak berikutan mesyuarat dialog antara dirinya, wakil dari 19 tokong dalam gua dan jabatan itu.

Katanya, pengarah jabatan itu bersetuju bahawa beberapa tokong gua itu penting dari segi budaya dan sejarah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button