Pendapat

Hari Agama Sedunia agenda ciptaan agama Bahai

Hati-hati, jangan semberono petik ayat al-Quran

HARI ini masyarakat Malaysia dikejutkan dengan perkongsian satu poster yang provokatif mengenai Ucapan Sambutan World Religion Day (Hari Agama Sedunia).

Meskipun poster tersebut telah diturunkan (removed/deleted), penjelasan tuan punya status tersebut (seorang pemimpin kanan Pertubuhan Ikram) sebenarnya tidak menjernihkan suasana.

“Memandangkan pelbagai reaksi dan respon yang kurang baik diberikan kepada sebaran poster tersebut, pihak ADH mengambil sepenuh tanggungjawab dan membuat keputusan untuk menurunkan poster demi menghormati teguran dan pandangan yang diberikan.”

“ … pelbagai reaksi dan respon yang kurang baik diberikan kepada sebaran poster tersebut …” adalah satu alasan yang tidak munasabah.

Sudah sewajarnya umat Islam merasa marah dan sensitif dengan poster tersebut kerana ia mempromosikan satu projek yang diasaskan dan dimulakan oleh pemimpin agama Bahai, satu ajaran bukan-Islam.

Pernyataan “ … pihak ADH mengambil sepenuh tanggungjawab dan membuat keputusan untuk menurunkan poster demi menghormati teguran dan pandangan2 yang diberikan.” harus disusuli dengan permintaan maaf kepada umat Islam.

Kita tertanya-tanya, adakah Dr Harlina Siraj mengambil kira kesan dan pengaruh ke atas pembaca dan umat Islam sebelum memuatnaik poster yang boleh menyesatkan pegangan umat Islam yang tidak sedar dan tidak faham?

Dari penjelasan beliau kemudiannya, saya tidak dapat mencari nada kekesalan atau merasa bersalah pemimpin wanita Ikram ini terhadap poster yang dimuatnaik itu dan ia hanya diurunkan setelah mendapat kecaman dari pembaca dan umat Islam.

Setakat maklumat yang sedia ada, tidak ada seorang pun pemimpin Islam dari mana-mana organisasi, pertubuhan, agensi, institusi atau jabatan yang berani memuatnaik satu status dan pernyataan yang amat sensitif kepada umat Islam. Kecuali satu sahaja yang saya dapat temukan, iaitu kerajaan negeri Pulau Pinang (https://www.buletinmutiara.com/world-religion-day-helps-to-unify-togetherness-says-exco/).

Pada pandangan saya, poster ini melambangkan dan menzahirkan pendirian dan ‘worldview’ yang dipegangi, dan sekiranya pandangan saya benar, maka kita perlu merasa gusar dan bimbang dengan fenomena ini.

Kalau sekadar mengucapkan Selamat Tahun Baharu, tidak ada sebarang masalah pun. Saya juga mengucapkannya kepada kenalan dan rakan-rakan dari bangsa Cina sebelum ini.

Bagaimanapun, mempromosikan sesuatu yang membawa unsur agama (yang bukan Islam pula) adalah perkara lain.

Untuk makluman, antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh agama Bahai ialah penekanan terhadap kesamarataan semua agama dan perkongsian nilai-nilai universal semua agama.

Saya tidak mengerti kenapakah terdapat di kalangan segelintir umat Islam yang masih ‘terpukau’ dan kemaruk untuk mempromosikan agenda pluralisme dan kesamarataan agama ini?

Maharaja Akbar, pemerintah Dinasti Moghul di India merupakan pemimpin kerajaan Islam yang pertama sekali merintis ke arah agenda pluralisme dan kesamarataan agama ini.

Beliau telah memanggil semua pemuka agama atau ajaran keagamaan yang ada ke istana beliau untuk mengemukakan unsur-unsur terbaik menurut agama atau ajaran masing-masing.

Kesemua unsur kebaikan yang memiliki persamaan antara satu sama lain dikumpulkan oleh oleh maharaja Akbar untuk diterimapakai oleh semua rakyat dan penganut agama/ajaran keagamaan di dalam kerajaannya.

Koleksi nilai-nilai dan unsur-unsur persamaan antara semua agama dan ajaran ini dinamakan Din Ilahi.

Dasar dan polisi negara ini telah gagal.

Apakah agama Islam dengan hakikat, sistem, nilai, peraturan dan falsafahnya masih kekurangan sini sana atau belum sempurna sifatnya lagi sehingga boleh diletakkan sejajar dengan agama-agama lain (malah Bahai bukan satu agamapun tetapi sekadar ajaran falsafah moral sahaja)?

“Orang—orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (QS Al-Baqarah [2]: 120).

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Ali Imran 3:19)

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Ali Imran 3:85)

Kalau Allah memberi ancaman terhadap umat Islam yang mengikuti telunjuk penganut agama lain (dalam kes ini yang digelar Ahli al Kitab) setelah Islam datang dengan petunjuk dan hujah yang kuat, apakah kita masih mahu (dan tidak malu) bergesel bahu dengan ajaran yang langsung tidak ada kaitan dengan wahyu?

Ini bukanlah kali pertama idea dan gagasan mengarut ini ditimbulkan.

Seperti mana yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada tahun 2013 (https://www.malaysiakini.com/news/217833), Dr Maszlee Malik, seorang pemimpin Ikram (ketika itu seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa) yang membuat satu seruan luar biasa ekoran dari isu kalimah Allah yang sensitif itu, antara lain berbunyi:

“Isu tersebut hanyalah simptom kepada akar permasalahan yang lebih besar, iaitu kejahilan di antara penganut agama-agama di Malaysia berkaitan agama lain.”

Akibat kejahilan bersama ini, maka timbullah salah faham bersama (mutual misconception) yang pastinya menjadi ruang yang subur untuk prejudis, fitnah dan perselisihan faham.

Maka, saya menyeru agar pihak kementerian pelajaran untuk mengadakan subjek ‘Agama-agama di Malaysia’ sebagai subjek teras dan wajib ke atas semua pelajar-pelajar di Malaysia.

IPTA dan IPTS juga hendaklah mempunyai subjek tersebut juga sebagai salah satu subjek teras mereka. Begitu juga, subjek agama Islam, perlu dihadiri semua memandangkan Islam merupakan agama rasmi Malaysia yang perlu diketahui oleh setiap rakyatnya.”

Saya telah menyanggah dan membantah seruan beliau tersebut melalui satu hantaran Facebook pada tahun 2016. Rujuk: (https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/1242820092408665).

Para pembaca adalah disarankan supaya meneliti sanggahan saya oleh kerana apa yang diserukan oleh Dr Maszlee Malik membawa kesan dan impak besar kepada generasi muda Islam sekiranya menjadi kenyataan.

Ulasan terakhir: Sebelum ini pertubuhan Ikram ghairah mempromosikan gagasan Rahmatan Alamin dengan bersandarkan hanya kepada satu ayat al-Quran sahaja (Surah al Anbiyaa ayat 107).

Kini, satu ayat lain pula (Surah Al Hujurat ayat 13) dijulang untuk mempamerkan imej positif dan harmoni mereka.

Saya bukan siswa yang mengkhusus dalam bidang Tafsir Al Quran ketika belajar di Universiti Islam Antarabangsa dahulu, akan tetapi pada kefahaman saya, kedua-dua ayat yang mereka pilih tidak kena pada konteksnya dan terbabas dari Asbab An Nuzul (sebab-sebab dan latar belakang turun ayat) nya.

Kita tidak boleh semberono dan sewenang-wenang memetik ayat al-Quran secara terpilih atau selektif untuk menonjolkan agenda pertubuhan atau parti politik tertentu.

Ayat apa pula selepas ini?

****

Rujukan dan bacaan lanjut:

https://muftiwp.gov.my/artikel/tashih-al-mafahim/2999-tashih-al-mafahim-8-pluraliti-agama-bukan-pluralisme-agama

https://bahaiteachings.org/do-we-need-a-world-religion-day/

https://ms.wikitrev.com/wiki/World_Religion_Day

https://ms.wikitrev.com/wiki/World_Interfaith_Harmony_Week

World Religion Day

Mohd Lutfi Abdul Khalid
Pemerhati politik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button