Kolumnis

Raya pun tidak bersama, nak bercakap soal perpaduan macam mana?

Hari raya hari kemenangan bertukar menjadi umpatan dan makian

PENGUMUMAN mengejut 1 Mei 2022 (Ahad), hari raya 2 Mei (Isnin) menjadikan suasana kelam kabut. Walaupun seminggu sebelum itu, sudah tular di media sosial sosial, hari raya awal, tetapi dinafikan. Walhal itulah hakikatnya.

Semua jadi kalut, lebih-lebih lagi ianya diumumkan hanya selepas solat Maghrib, kira-kira jam 8.00 malam.

Sampai bila kita akan terus dengan cara pengumuman tradisional kaku seperti itu?

Jika berlaku seperti biasa ikut kalendar, mungkin tidak sangat menimbulkan masalah, tetapi jika seperti baru-baru ini bagaimana?

Kaunter zakat sesak, khalayak berpusu-pusu dan bertumpu mencari bahan makanan untuk dimasak untuk dijadikan juadah keesokan harinya. Ramai yang tersadai di jalan raya, tanpa dapat melakukan apa-apa persiapan. Lebih menyakit ketika berada dalam peralihan pandemik COVID-19.

Selama ini anak bulan jarang kelihatan, tiba-tiba kali ini nampak. Ada hikmah disebaliknya. Mengajar umat Islam lebih bersedia, kerana itulah tuntutan Islam, jangan menunggu sehingga minit terakhir.

Peliknya, negara jiran kita Singapura tidak pula nampak, sedangkan duduk bersebelahan sahaja. Adakah alat yang digunakan kurang canggih? Saya menjadi sangat musykil. Tidakkah hari raya ditentukan mengikut zon, bukan lagi ikut sentimen kenegaraan atau kenegerian? Sebab itu kita sebut umat Islam, tanpa mengikut batas dan sempadan?

Singapura menyambut hari raya mengikut jadual kalendar, pada Selasa. Tidak bolehkah Singapura ikut Malaysia disebabkan kita banyak lokasi cerapan berbanding pulau kecil itu?

Mufti Singapura, mengumumkan bahawa hari pertama Syawal 1443H/2022 jatuh pada Selasa, 3 Mei 2022.

Ini bermakna umat Islam di Singapura tidak akan menyertai rakyat Malaysia majoriti negara Islam lain menyambut Hari Raya pada 2 Mei, meskpun jiran sebelah sahaja.

Alasan yang diberikan Mufti Singapura, mengikut kiraan hisab, anak bulan Syawal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan tidak juga mencukupi syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota Mabims (Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura). Ini bererti 2 Mei (Isnin) adalah hari pencukup bulan Ramadan selama 30 hari dan awal bulan Syawal tahun 1443H iaitu Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Selasa (3 Mei).

Persoalannya, tidak ada mekanisme lainkah yang lebih baik, dalam soal penentuan Syawal? Mabims seolah-olah hanya pada nama, fungsi kebersamaan masih tidak wujud sekali. Saya tidak kata tindakan Singapura itu tidak betul, tindakan kita pula betul? Tetapi masing-masing perlu lakukan muhasabah.

Tidakkah perbezaan ketara sebegini akan menyebabkan kita dan agama kita ditertawakan?

Perkara ini bukan baharu, banyak kali berlaku sebelum ini. Kita belum raya, negara jiran seperti Indonesia dan Thailand telah raya. Begitu juga majoriti negara Islam lain.

Lebih parah, dentuman mercun dan bunga api paling kuat bunyinya bermula jangan 12 tengah malam. Rupa-rupa 12.00 tengah malam dijadikan perkiraan hari, seperti mana bukan Islam lakkukan.

Sedangkan dalam Islam, semua kita tahu, waktu Maghrib adalah tanda berakhirnya satu hari dan bermula satu hari yang baharu, bukannya jam 12.00 tengah malam

Jauh lagi rupanya kefahaman Islam dalam kalangan rakyat Malaysia.

Itu pun nasib baik, kita tidak sambut raya hari Selasa seperti Singapura.

Jika berlaku, sudah tentu memalukan. Orang akan berkata, umat Islam, dalam perkara sambut raya pun berbeza pendapat, bagaimana nak lakukan sesuatu yang lebih besar. Misalnya, soal perpaduan. Bagaimana perpaduan dalam kes yang lebih besar boleh tercapai, jika dalam raya pun tidak sama dan berlaku perbezaan pendapat. Satu Syawal berbeza antara negara-negara Islam? Terlalu kelakarkan?

Apakah perkara ini yang menyebabkan terlalu sukar untuk umat Islam disatukan?

Sama ada anak bulan kelihatan atau tidak, itu bukan soal lagi kerana majoriti negara Islam menyambut hari Isnin, bukan berasaskan kepada kalendar tahunan

Justeru, sudah sampai masa cerdik pandai dalam kalangan umat Islam melihat perkara ini dengan serius, terutamanya Mabims? Jika tidak apa erti Mabims? Pakatan yang terlalu longgar, tidak mengikut langsung.

Adakah penentuan 1 Syawal itu mesti dengan melihat anak bulan? Jika kelihatan bagaimana, jika tidak bagaimana pula. Semua itu perlu difikirkan dengan mementing kebersamaan.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan pendapat mengatakan, bukan soal hari apa sambutan hari raya, tetapi soal kebersamaan umat Islam seluruh dunia.

Perkara ini amat penting untuk dilihat dengan serius, supaya agama Islam tidak ditertawakan dan perlekehkan.

Jika dalam perkara sebesar penentuan hari raya pun tidak dapat diselesaikan, mana mungkin kita dapat menyelesai perkara yang mungkin lebih besar daripada itu.

Justeru, sudah sampai masanya soal kebersamaan dalam negara Islam dilihat dengan serius daripada perkara bersifat teknikal

Islam itu mudah, buktikan kemudahan itu, supaya agama Islam akan dipandang mulia dan tidak mengelirukan.

Sudah sampai masanya kebersamaan itu dijadikan keutamaan, terutama di kawasan Asia Tenggara ini, jika tidakpun di dunia. Kebersamaan ini amat penting dipamerkan agar kerjasama dapat dipereratkaan dan Islam dapat ditonjolkan dengan lebih positif

Jika kebersamaan untuk seluruh dunia tidak bersesuaian dengan dilalah hadis sumu lirukyatikum…. Sebesar yang dapat kita buat atau paling kurang buatlah untuk Nusantara atau Asia Tenggara ini. Sekurang-kurang tidaklah nampak umat (negara) Islam hodoh sangat dalam perkara sebesar ini.

Hadis ini amat indah untuk dibicarakan dari aspek universiti Islam yang melangkaui elemen dimensi masa, tempat dan peradaban

Rukyah adalah asas yang disetujui teorinya tetapi masalah kita adalah kegagalan dlam menetapkan keluasan zon yang diwakili oleh sesuatu rukyah

Penetapan isi anak bukan ini adalah elemen tabbudiyyah dan elemen siasah penyatuan yang terserah pada pemerintah

Zaman dahulu rukyah memang boleh diaplikasikan dalam skop yang kecil kerana komunikasi tidak canggih

Hari ini dengan kecanggihan komunikasi Mabims wajar berbincang tentang kebersamaan dan kesatuan zon. Jika tidak memalukan.

Halangan kita mungkin cuma Indonesia kerana wilayah mereka besar. Tetapi semua itu tidak mustahil. Sekadar contoh sahaja, Kalimantan dan Borneo. Makasar satu zon. Malaysia, Selatan Thailand, Singapura. Kepulauan Riau Lingga satu zon. Apakah kita sudah bersedia beralihkan ibu kota Indonesia daripada Jakarta ke Kalimantan? Kita perlu bersedia sebagai medium penyatuan dan kebersamaan? Jika tidak kita akan ketinggalan.

Hal ini tentunya seiring dengan petunjuk al-Quran untuk bertaawun (tolong menolong) saling bekerja sama dalam membangunkan kebaikan.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button