Berita Utama

Isu tokong: Sudahlah ceroboh secara haram, berani pula ugut

Apabila notis diberikan, ultra kiasu pun sibuk jadi juara

BANGI, 13 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Keputusan menarik balik surat perintah pengusiran yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak kepada 19 tokong yang dibina di atas tanah hak milik kerajaan di sekitar daerah Kinta, Perak mengejutkan ramai pihak.

Perkara itu menimbulkan kontroversi panas apabila PTG Perak mengeluarkan notis pengusiran kepada 19 tokong yang dibina dalam gua di Kinta itu, tetapi ditarik balik atau dibatalkan selepas dialog dengan MCA.

Difahamkan, Pengarah jabatan itu bersetuju bahawa beberapa tokong gua itu penting dari segi budaya dan sejarah.

Mengulas perkara itu, pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah secara sinis berkata, ia alasan basi sekian lama dilakukan.

“Bila mahu dirobohkan, sudah beratus tahun, mesti dijadikan tapak warisan. Warisan apa yang diperkatakan, sedangkan ia dibina secara haram?

“Tidak kiralah berapa tahun, haram tetap haram. Lebih-lebih lagi struktur tidak selamat. Suatu hari nanti, jika berlaku matapetaka di gua-gua tersebut, pasti pihak kerajaan pasti akan dipersalahkan. Kerajaan akan dituduh tidak membuat kajian atas struktur gua tersebut. Sedangkan mereka berdegil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak pelik dengan tindakan segelintir pihak yang dilihat menjadi ‘juara’ dalam mempertahan isu berkenaan.

“Dalam kes ini, apabila notis diberikan, maka ultra kiasu pun sibuk mahu menjadi juara. Sedangkan mereka tahu ia tidak selamat. Masih mahu pertahankan, malah lebih dahsyat lagi mahu diwartakan menjadi tapak warisan negara.

“Ultra kiasu mendesak supaya notis pengusiran ditarik balik. Untuk makluman, daerah Kinta mempunyai lebih 14 tokong berdekatan di dalam gua. Ada yang selamat digunakan, ada yang tidak.

“Bagi yang tidak selamat, ultra kiasu begitu berani mendesak, supaya kerajaan negeri perlu meneliti cara untuk menyediakan sokongan dan bukannya mengusir mereka. Sudahlah ceroboh secara haram, berani mengugut kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button