Letusan kuat gunung berapi Tonga cetus amaran tsunami di Jepun
Orang ramai dilarang dekati laut sehingga amaran ditarik balik

TOKYO, 13 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Gunung berapi dalam air di Tonga yang meletus, mencetuskan amaran tsunami dan arahan pemindahan di Jepun.
Ia turut menyebabkan ombak besar di beberapa pulau Pasifik Selatan, di mana rakaman di media sosial menunjukkan ombak menghempas rumah pantai.
Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami awal pagi hari ini dan berkata, ombak setinggi tiga meter (9.84 kaki) dijangka berlaku di kepulauan Amami di selatan.
Gelombang lebih dari satu meter telah direkodkan di sana lebih awal.
Penyiar awam NHK berkata, tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam taklimat, seorang pegawai Agensi Meteorologi Jepun menggesa orang ramai supaya tidak mendekati laut sehingga amaran tsunami yang lebih serius telah ditarik balik.
Beliau berkata, perubahan paras laut yang diperhatikan tidak mengikut corak tsunami biasa selepas gempa bumi.
“Kami belum tahu sama ada ini (gelombang) sebenarnya tsunami,” katanya pada taklimat itu.
Gelombang tsunami diperhatikan di ibu negara Tonga dan ibu negara Samoa Amerika, kata pemantau tsunami yang berpangkalan di Amerika Syarikat, berikutan letusan gunung berapi bawah air Hunga Tonga-Hunga Ha’apai.
Gunung berapi itu, yang terletak kira-kira 65 km (40 batu) di utara Nuku’alofa, menyebabkan gelombang tsunami setinggi 1.2 meter (empat kaki), kata Biro Meteorologi Australia.
Biro itu berkata, ia terus memantau keadaan tetapi tiada ancaman tsunami dikeluarkan ke tanah besar, pulau atau wilayah Australia. – Agensi