Berita Utama

Pengasuh tampar bayi 8 bulan kerana kerap muntah

Wanita berusia 48 tahun mengaku tak sengaja tampar pipi mangsa

KUALA LUMPUR, 13 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Polis menahan seorang wanita yang disyaki menampar bayi lelaki berusia lapan bulan di sebuah rumah di Bandar Tasik Permaisuri Cheras, Rabu lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Kuala Lumpur, ACP Kamaruzaman Elias berkata, wanita berusia 48 tahun yang merupakan pengasuh kepada mangsa itu ditahan selepas ibu bayi berkenaan yang berusia 25 tahun membuat laporan berhubung kejadian pada pukul 11.29 malam hari sama.

Menurutnya, ibu bayi itu  mendakwa pipi kanan anak bongsunya kemerah-merahan ketika mengambilnya dari rumah pengasuh.

“Siasatan mendapati pengasuh mengaku tidak sengaja menampar pipi mangsa ketika berada dalam buaian selepas dikatakan sering muntah.

“Suspek (pengasuh) dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil dan kita tunggu laporan penuh perubatan mangsa sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk nasihat dan arahan pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kertas siasatan dibuka dan diklasifikasikan sebagai kes penderaan kanak-kanak yang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Kamaruzaman menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan berita daripada sumber tidak sahih dan boleh mengganggu siasatan polis. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button