Akademi Dr Har digesa mohon maaf
Tidak ada kompromi isu tauhid, tiada pluralisme dalam agama

BANGI, 14 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Wanita BERJASA menggesa Akademi Dr Har (ADH) yang memuat naik poster sambutan Hari Agama Sedunia, semalam memohon maaf serta mengakui kekhilafannya.
Ketua Wanita BERJASA, Ustazah Siti Umi Kalsom Hussin menegaskan ucapan selamat ‘Hari Agama Sedunia’ adalah bercanggah dengan prinsip asas Islam.
“Rasullullah SAW tatkala diajak untuk bertoleransi mengenai perkara tauhid kepada Allah, baginda dengan tegas menyebut seperti dalam firman Allah SWT “لكم دينكم ولي دين”. “Bagimu agamamu dan bagiku agamaku”.
“Tidak ada kompromi dalam isu tauhid. Tidak ada pluralisme sama sekali dalam agama bahkan jawapan Rasulullah menolak sebarang unsur liberal dan penyamarataan dalam agama ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Ustazah Siti Kalsom menasihatkan Akademi DR Har mengeluarkan kenyataan maaf atas sebaran poster tersebut dan mengakui kekhilafan dalam mengeluarkan ucapan tersebut.
Terdahulu, tular satu poster Selamat Menyambut Hari Agama Sedunia oleh Akadamei Dr Har dengan memetik ayat 13 surah al-Hujurat.
Namun poster itu sudah dipadamkan susulan reaksi kurang baik dan demi menghormati teguran pelbagai pihak.