Artikel Khas

Apabila Suria KLCC mahu jadi lebih Cina daripada Cina

Walaupun negara ini berbilang bangsa, tetapi berpada-padalah

SURIA KLCC menerima kecaman dari warganet berikutan struktur dekorasi Tahun Baharu Cina di luar pusat beli belah berkenaan yang kelihatan seperti ‘Qingming’.

Qingming merujuk kepada “hari membersihkan kubur” atau Cheng Beng oleh etnik Cina.

Struktur hiasan seperti pagoda yang didirikan di luar pusat beli-belah itu dibina tinggi namun warganet berkata, ia hampir menyerupai peralatan sembahyang yang dibakar ketika Qingming atau hari membersih kubur. Ada warganet kata dekorasi itu sangat hodoh.

Memang menjadi pantang orang Cina, jika Tahun Baharu mereka dikaitkan dengan kematian.

Sebab itulah apabila berlaku kematian pada hari raya besar itu ibarat sesuatu yang malang.

Tidak ramai orang yang datang berziarah melainkan ahli keluarga.

Yang menghairankan saya kenapa perlu buat binaan sebesar itu? Tidak cukupkah lagi hiasan dalamannya?

Adakah kita berada di Hong Kong atau Taiwan? Tidakkah Suria KLCC sedar bahawa kita berada di Malaysia? Walaupun negara ini berbilang bangsa, tetapi berpada-pada.

Kenapa Suria KLCC perlu begitu ‘over’ dalam soal ini?

Sudah matikah jati diri kita dalam meraikan kepelbagaian? Saya tidak menafikan kepelbagaian, tetapi jangan sampai hilang identiti?

Jika yang melakukan hiasan over dalam kalangan pemilik pusat beli belah orang Cina, saya masih boleh terima. Ini KLCC. Siapakah pemilik KLCC ini? Semua sudah tahu, bukan?

Kita perlu ada garis panduan, supaya negara ini ada jati diri dan tidak caca merba.

Jika tidak, bila tiba Tahun Baharu Cina, sesebuah bandaraya atau bangunan atau pusat membeli belah akan jadi seperti Hong Kong. Bila tiba Krismas, jadi seperti London.

Apa erti nama Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan lain-lain bandaraya. Berpada-padalah.

Belajarlah daripada Brunei. Negara Brunei juga berbilang bangsa, tetapi negara ada garis panduan, bukan caca merba seperti kita.

Sedih sangat, apabila kesedaran jati diri sudah semakin hilang.

Kepada Suria KLCC, buatlah sedikit kajian dan penyelidikan. Jangan pergi jauh, intai sahaja ke Brunei.

Kerajaan Brunei menghadkan aktiviti kaum lain di negara itu. Misalnya ketika perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina, simbol-simbol mereka tidak dibenarkan diletakkan atau dipasang di tempat yang menjadi tumpuan khalayak seperti pasar raya. Pertunjukan budaya hanya boleh diadakan di tempat mereka sahaja, pada waktu dan masa yang telah ditetapkan.

Jika tidak dibuat sebegini, nanti tenggelamlah identiti penduduk asal Brunei, bandaraya langsung tidak ada jati diri dan identiti. Identiti Brunei Melayu Islam Beraja, tanpa menafikan hak bukan Islam.

Meskipun negara Brunei menerima kecaman apabila garis panduan itu dilaksanakan, kepemimpinannya tidak menggelabah, tetapi tetap dengan pendiriannya. Inilah negarawan sebenarnya. Tidak pernah takut dengan ugutan sebab mereka yakin dengan asal-usul negaranya.

Sama juga dengan kerajaan China yang dipimpin Parti Komunis China (CPC) pernah suatu ketika memboikot perayaan Krismas dan mengharamkan rakyatnya meraikan sambutan itu. Meskipun dikecam, kerajaan China tetap dengan pendiriannya.

Menurut laporan South China Morning Post (2018), sambutan itu dibimbangi menyebabkan rakyat di negara tersebut semakin melupakan perayaan budaya dan tradisi mereka kerana terlalu meraikan candu Barat.

Keberanian kerajaan China ini patut dicontohi oleh semua kerana pada mereka identiti dan jati diri sangat penting.

Hairannya tidak pulak ultra kiasu mengecam tindakan kerajaan China ketika itu.

Berbeza sangat dalam konteks Malaysia, niat Suria KLCC itu baik, mahu meraikan sehingga lupa asal-usul negara ini. Malangnya, niat baik itu telah menerima kecaman daripada orang Cina sendiri, disebabkan tidak memahami sensitiviti budaya.

Nasihat saya kepada Suria KLCC, berhentilah melakukan kerja sia-sia ini. Lebih baik gunakan duit itu untuk bantu mangsa banjir.

Jika mahu raikan kepelbagaian dan diversiti, banyak cara lain lagi. Tetapi bukan dengan cara yang sebegini over, sehingga niat baik mengundang kecaman.

Cuba contohi kerajaan Brunei, orang bukan Islam di sana dalam lingkungan 30 peratus, dapat menerima keputusan yang dibuat. Kenapa?

Kerana kerajaan Brunei berjaya menjadikan bangsa lain yang berhijrah sedar diri dan tahu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Maka tidak hairanlah kerajaan Brunei berjaya dan mewajibkan subjek Melayu Islam Beraja (MIB) dijadikan mata pelajaran wajib ambil dalam sistem pendidikan di sana, demi menjaga masa depan dan jati diri negara.

Agak-agaknya mampukah kita lakukan di negara kita?

Jawapannya, pasti sudah ada.

Jika Jawi enam muka surat pun sudah menjadi tiga muka surat di SJKC, itu pun ada yang tidak dapat dilaksanakannya sepenuhnya, janganlah pandang soal lain. Begitu juga dengan arahan Jawi dalam papan tanda pun yang telah gagal dilaksanakan apabila diprotes.

Ini belum termasuk, arahan kosongkan tokong dan kuil yang dibina di kawasan tanah kerajaan, seperti yang berlaku di Daerah Kinta, berhampiran Ipoh baru-baru ini. Sebahagian gua di tanah kerajaan di sana sudah menjadi tokong dan kuil. Apabila diprotes, kita menjadi lembik, takut hilang undi. Berbaloikah politik sebegini.

Kita akan gagal dan terus gagal, jika tidak melihat sejarah dan jati diri itu sebagai sesuatu yang penting dan mesti dipelihara. Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, kerana semua negara yang mengamalkannya.

Adakah identiti dan jati diri Islam mengakar di negara India dan China, meskipun penduduk Islam di sana ada ratusan dan puluhan juta? Sama-sama kita fikirkan.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button