Artikel Khas

Henti usaha sama ratakan agama

Boleh rosak akidah, gugat keagungan Islam dari pelbagai sudut

TULAR semalam tadi poster ucapan selamat menyambut hari agama sedunia. Setelah netizen berbunyi mengingatkan, barulah poster ucapan ini ditarik balik.

Persoalannya, apa sebenarnya tujuan ucapan sedemikian?

Sesungguhnya agama yang diredhai Allah hanyalah Islam. Tidak ada yang lebih baik dan lebih tinggi melainkan Islam.

Hentikan usaha menyamaratakan antara agama sebegini. Akibatnya menyebab masyarakat terutama anak muda semakin keliru.

Allah memang menciptakan manusia berbangsa-bangsa.

Tanda luasnya Islam dan agungNya kekuasaan Allah. Sebagai saranan kepada manusia untuk saling kenal- mengenali, bersatu- padu dan bertolong bantu. Biar apa pun bangsa kita, aqidah, keimanan dan kepercayaan yang benar hanya satu iaitu mengesakan Allah SWT.

Agama yang membawa kepada reda Allah hanya satu iaitu agama Islam.  Apabila Allah SWT redha, maka segala yang termaktub sebagai ajaran Islam adalah benar dan tiada keraguan padanya tiada yang lebih baik darinya.

Agama yang lain adalah penyelewengan. Masakan boleh kita samakan.Tidak ada perkiraan taqwa dalan agama penyelewengan.

Firman Allah SWT  bermaksud: “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Kitab kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barangsiapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh, Allah sangat cepat perhitungan-Nya. (Surah Ali Imran : 19)

Rasulullah SAW menjelaskan kedudukan Islam menerusi sabdanya yang bermaksud: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya.” (Hadis Riwayat Al-  Baihaqi)

Bersamalah kita berusaha menunjuk jalan kepada sesuatu yang baik dan mulia. Bukan kepada sesuatu yang mengelirukan dan merendahkan agama dalam apa jua bentuk.

Kita pegang kemas ayat-ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW dalam kehidupan.

Antaranya hadis yang bermaksud, “Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.” [Riwayat Muslim (1893)]

Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda.

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran sepertimana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).” (Hadis Riwayat Muslim (2674)]

Ganjaran yang hebat buat seseorang yang berusaha menyeru manusia ke jalan hidayah dan pahala. Malah pahala tersebut akan diperolehi selagimana orang yang diseru itu melakukan serta mengamalkannya.

Kesimpulannya, hentikan usaha menyeru manusia di akhir zaman ini kepada pluralisme agama. Kesannya amat bahaya, boleh merosakkan akidah dan menggugat keagungan Islam itu sendiri dalam pelbagai sudut.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan hikmah dalam menyeru manusia kepada hidayah.

Ustazah Hajjah Kaslawati Kassim
Setiausaha Wanita BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button