Dunia

Ibu negara Indonesia kini Nusantara

Nama dianggap ikonik di peringkat antarabangsa

JAKARTA, 14 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Indonesia hari ini mengumumkan nama baharu bagi ibu negaranya yang dirancang di timur Kalimantan sebagai Nusantara.

Menteri Perancangan Pembangunan Nasional, Suharso Monoarfa berkata, nama Nusantara – bermaksud kepulauan dalam bahasa Indonesia – telah dipersetujui Presiden Joko Widodo.

“Saya baru mendapat pengesahan dan arahan terus daripada presiden iaitu pada hari Jumaat. Beliau berkata ibu negara baharu itu adalah Nusantara.

“Ini kerana Nusantara sudah lama dikenali. Dan ia adalah ikonik di peringkat antarabangsa, ringkas dan menggambarkan kepulauan kita, Republik Indonesia. 

“Saya percaya kita semua bersetuju dengan nama Nusantara,” katanya ketika mesyuarat jawatankuasa khas untuk penubuhan ibu negara baharu itu.

Setakat ini, kerajaan masih belum memutuskan sama ada ibu negara baharu itu akan menjadi wilayah atau bandar.

Pada 2019, Joko Widodo mengumumkan bahawa ibu negara Indonesia akan berpindah dari Jakarta ke Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur.

Pembinaan projek ibu negara baharu itu dianggarkan bernilai AS$32 bilion dan sepatutnya dimulakan pada tahun 2020.

Bagaimanapun, ekoran situasi pandemik COVID-19, pihak berkuasa negara terpaksa menangguhkan projek berkenaan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button