Berita Utama

Kes remaja curi tabung masjid tonjol kebijaksanaan mahkamah

Syor masjid, pusat zakat diperkasa santuni golongan miskin, bermasalah

BANGI, 14 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Polemik kes remaja yang tular dimandikan ala jenazah kerana cuba mencuri tabung Masjid Al-Islahiah pada 13 Januari lalu, kini berakhir selepas mahkamah menggantikan hukuman penjara dan denda kepada khidmat masyarakat.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar, 19 dan menggantikan hukuman itu kepada khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan.

Mengalu-alukan keputusan itu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyifatkan mahkamah menunjukkan kebijaksanaan dalam mengendalikan kes remaja terbabit.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, masa depan remaja terbabit berkemungkinan boleh rosak sekiranya keputusan terdahulu membabitkan hukuman penjara dikekalkan.

“PEMBELA berpendapat bahawa ada keperluan supaya Majlis Agama menetapkan SOP kepada AJK masjid dalam bertindak, terutamanya bagi kes sebegini agar tidak berlaku sebarang polemik dalam kalangan masyarakat.

“PEMBELA ingin menegaskan bahawa kesalahan tetap kesalahan di sisi undang tetapi bagi kami, keputusan mahkamah ini menunjukkan kebijaksanaan mahkamah kerana masa depan remaja ini boleh rosak jika dipenjara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serentak itu, PEMBELA mencadangkan supaya pihak masjid, pusat zakat dan persatuan penduduk diperkasa, disepadu serta dilengkapkan dengan mekanisme bagi menjejak dan menyantuni golongan miskin serta individu bermasalah dalam kariah.

Katanya, langkah itu supaya semangat tolong-menolong dan kasih mengasihi sesama Islam sentiasa menjadi praktis harian secara menyeluruh.

“PEMBELA mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam kes ini kerana berhasil untuk menemui jalan penyelesaian yang baik,” katanya.

Kes Daniel Iskandar menjadi tular selepas ditangkap kerana cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al-Islahiah apabila video dia dimandikan seperti jenazah tular di media sosial.

Isu itu hangat diperdebatkan pengguna media sosial, apabila sebahagiannya mengkritik tindakan pihak masjid, manakala sebahagian lagi menyokong perkara itu.

Minggu lalu, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja berkenaan.

Ketika perbicaraan, dia mengaku bersalah dan mendakwa terpaksa bertindak sedemikian kononnya bagi mendapatkan wang untuk membeli ubat-ubatan datuknya yang menghidapi kencing manis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button