Berita Utama

KPM akan selesai isu ambilan khas guru one-off

Perlu bantuan SPP untuk penempatan guru

BANGI, 14 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Kementerian Pendidikan (KPM) pada masa ini menumpukan untuk menyelesaikan sepenuhnya pengambilan khas secara one-off bagi 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ini adalah penting bagi menyediakan guru berkualiti yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan jawatan sedia ada.

Beliau berkata, KPM amat memerlukan bantuan segera Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) berhubung hal itu, bagi menyelesaikan baki pengambilan guru berkenaan untuk membolehkan penempatan guru dibuat sebelum sesi persekolahan akan datang bermula.

“Terima kasih SPP kerana telah selesai menjalankan temuduga bagi pengambilan khas ini dan sebahagian daripada calon berjaya telah menerima tawaran lantikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan menerima kunjungan daripada Pengerusi SPP, Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff bagi membincangkan beberapa perkara penting berkaitan usaha KPM memperkasa sektor pendidikan, khususnya mengenai pengambilan guru baharu bagi institusi bawah kementerian itu.

Mohd Radzi berkata, pertemuan itu juga turut membincangkan mengenai guru lantikan secara Contract of Service dan guru interim, termasuk membabitkan guru interim bagi mata pelajaran bahasa Inggeris lantikan tahun 2019 yang akan tamat kontrak pada bulan April ini.

“Saya mohon supaya SPP dapat menyegerakan segala urusan temuduga kumpulan calon guru ini.

“Begitu juga dengan urusan lantikan bagi mata pelajaran Pendidikan Islam serta guru interim JPN Sabah dan Sarawak yang mana kontrak mereka juga akan tamat tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan turut menyentuh mengenai keluhan graduan lepasan ISMP Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) bagi pengambilan khas ini.

Katanya, berdasarkan maklum balas SPP, terdapat lebihan graduan pendidikan bagi mata pelajaran tertentu, termasuk graduan PAKK dan pihaknya serta SPP akan meneliti isu berkenaan.

“Selain guru, kami turut membincangkan tentang pengambilan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang perlu disegerakan bagi membantu melancarkan pengoperasian sekolah.

“Alhamdulillah, pihak SPP akan memberi komitmen sepenuhnya untuk mempercepatkan urusan pengambilan guru dan AKP abgi membolehkan pengoperasian sekolah, khususnya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dengan lancar demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button