Dunia

Lebih separuh penduduk Yaman kebuluran

Jutaan rakyat terkesan akibat catuan makanan kerana tiada dana

SANAA, 14 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Kadar kebuluran membabitkan jutaan rakyat Yaman dilaporkan semakin meningkat, ekoran kekurangan bantuan kepada negara bergolak itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan berkata, rata-rata keluarga di Yaman kelaparan akibat pemotongan bantuan makanan.

Katanya, lebih separuh daripada empat juta penduduk Yaman yang dipindahkan ke kawasan dikategorikan sebagai darurat makanan.

“Pada bulan Januari, berjuta-juta rakyat akan menerima kesan daripada pengurangan catuan makanan,” kata UNHCR yang merujuk agensi bantuan PBB di Yaman termasuk Program Makanan Sedunia kini kehabisan dana.

Yaman telah dilanda pergolakan dan ketidakstabilan sejak 2014, apabila pemberontak Houthi yang bersekutu dengan Iran menawan sebahagian besar negara itu, termasuk Sanaa.

Gabungan diketuai Arab Saudi yang bertujuan mengembalikan semula kerajaan Yaman telah memburukkan lagi keadaan pergolakan di negara itu.

Situasi berkenaan menyebabkan salah satu krisis kemanusiaan yang paling teruk di dunia, dengan hampir 80 peratus atau kira-kira 30 juta orang memerlukan bantuan serta perlindungan, selain lebih 13 juta lagi berisiko kebuluran, menurut PBB.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button