Berita Utama

PPMM jadi pengantara proses saranan kes remaja curi tabung masjid

Ambil langkah semampu mungkin bantu Mahkamah Tinggi Shah Alam

BANGI, 14 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) membantu Mahkamah Tinggi Shah Alam menjadi pengantara proses saranan dalam kes jenayah remaja yang tular di media sosial berhubung cubaan mencuri tabung masjid.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar, 19, yang tular dimandikan jenazah atas cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu. 

Hakim, Datuk Abd Halim Aman membuat keputusan terbabit dan menggantikan hukuman itu kepada khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Mahkamah Tinggi turut memberi saranan kepada semua pihak yang terbabit dalam perkara ‘Hukuman Masjid untuk Mandi Jenazah’ untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan cara terbaik menerusi bantuan PPMM sebagai pengantara proses saranan itu.

Pihak yang disebut terbabit dalam saranan itu adalah pihak imam, Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid, individu yang merakam, individu yang menularkan rakaman serta ahli keluarga Daniel Iskandar. 

“PPMM akan meneliti Penghakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam berkenaan, dan akan sesegera mungkin, mengambil langkah yang perlu dalam membantu Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagai ‘Sahabat Mahkamah’.

“Ini bagi tujuan merealisasikan saranan berkenaan setakat mana yang mampu, dan PPMM akan seteruskan memajukan laporan lengkap yang berkaitan itu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam, kelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PPMM terdahulu melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co. telah mengundurkan diri daripada mewakili Daniel Iskandar untuk mengelakkan tindanan perwakilan guaman, selepas dimaklumkan mengenai pelantikan semula peguam yang mewakilinya ketika prosiding di Mahkamah Majistret Selayang untuk Semakan Jenayah di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Zainul Rijal berkata, Mahkamah Tinggi telah mengambil maklum perkara itu namun mengekalkan kehadiran PPMM, melalui Peguamcaranya itu sebagai Sahabat Mahkamah (Amicus Curiae) untuk membantu mahkamah dalam prosiding berkaitan.

Katanya, PPMM turut merakamkan penghargaan kepada para peguam yang membantu dalam memastikan keadilan sewajarnya dan bermunasabah diletakkan pada tempatnya dalam kes ini.

Barisan peguam yang terlibat adalah Haniff Khatri Abulla; Muhammad Hariz Md Yusoff; Nur Fatin Syakinah Kamarudin; Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhamad Mustaqim Ahmad Huzaini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button