Berita Utama

Guru interim terlatih wajar diberi jawatan tetap

Isu ambilan 18,000 one-off guru juga terumbang-ambing

BANGI, 15 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengutamakan guru interim yang terlatih untuk ditempatkan ke perjawatan tetap.

Gesaan itu disuarakan bagi memastikan pengalaman dan kemahiran mereka dimanfaatkan semaksima mungkin.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan dan mendapat banyak maklum balas berkaitan isu guru interim seperti mana yang hangat diperbincangkan di media sosial.

Katanya, guru interim mendapat hampir keseluruhan keistimewaan sebagai pejawat awam guru (DG) kecuali beberapa aspek seperti elaun perumahan, cuti bersalin dan sebagainya.

“Namun, apa yang menyedihkan ialah ketika ini ialah ramai dari kalangan guru interim tidak dilanjutkan kontrak mereka meskipun telah menamatkan latihan ikhtisas mereka.

“Ketidakpastian ini menjadi kebimbangan akan nasib masa depan guru interim serta menjejaskan sistem pendidikan negara.

“Begitu juga isu pengambilan one off guru seramai 18,000 juga turut terumbang-ambing dan tidak menentu keadaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Azizee berkata, meskipun Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin telah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), namun tidak ada satu jaminan yang konkrit diberikan oleh beliau dan SPP terhadap isu ini.

“Langkah pengambilan guru baharu seramai 18,000 orang adalah satu tindakan yang baik, namun ia perlu diselaraskan secara komprehensif supaya tidak timbul isu-isu lain terutama berkaitan penempatan sebagai guru tetap.

“Sekali lagi pihak iGuru meminta pihak KPM mengambil langkah proaktif dan konstruktif untuk menyelesaikan nasib isu guru interim demi kelangsungan sistem pendidikan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button