Berita Utama

PAS gesa sokong kerajaan dipimpin Muhyiddin

Jangan ganggu gugat, fokus kesejahteraan rakyat, pulih ekonomi

BANGI, 27 Safar 1442H, Khamis –  Parti-parti politik yang diberikan amanah untuk membentuk Kerajaan Baginda di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia, mestilah memberi sokongan padu tanpa diganggu gugat. 

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu perlu bagi boleh membolehkan kerajaan berfungsi dengan baik dan efektif. 

Justeru, katanya, jemaah Kabinet dianggotai – Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak, PAS dan Gabungan Rakyat Sabah perlu bertindak secara kolektif dan bertanggungjawab dengan memberikan keutamaan dan fokus kepada kesejahteraan rakyat.

“Terutama sekali di era sukar di mana semua pihak berusaha bertungkus lumus bagi menangani penularan semula pandemik COVID-19. 

“…ia termasuk langkah memulihkan ekonomi negara yang teruk terjejas,” katanya dalam satu kenyataan. 

Pada masa sama, Takiyuddin berkata, PAS merafakkan setinggi-tinggi junjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan dan langkah berhikmah Baginda menyelesaikan sebarang kemelut termasuklah politik, sehingga berjaya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan kestabilan dalam negara.

“PAS yakin Baginda telah bertindak berdasarkan segala kuasa prerogatif dan budi bicara sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara atas konsep Raja Berperlembagaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button