Hamas kutuk pencerobohan biadab rejim haram di Masjid al-Aqsa
Langkah Zionis cetus provokasi, tak mustahil ada intifada baharu

BAITULMAQDIS, 15 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengutuk keras tindakan rejim haram Israel yang berterusan menceroboh kawasan Masjid al-Aqsa.
Tindakan itu makin biadab selepas negara pengganas Israel meluluskan peruntukan sebanyak AS$35.4 juta bagi menaik taraf infrastuktur di sekitar al-Aqsa.
Jurucakap Hamas berkata, Tembok Buraq Masjid al-Aqsa bukan sahaja penting kepada masyarakat Palestin, bahkan seluruh umat Islam sedunia.
“Rancangan ini merupakan pencerobohan terang-terangan terhadap kawasan paling suci milik umat Islam seluruhnya” katanya.
Rejim haram Zionis didakwa mahu menggalakkan lebih banyak lawatan ke tapak berkenaan termasuk membangunkan program pendidikan, selain meneruskan projek pembangunan sedia ada.
“Masjid al-Aqsa adalah kawasan penting kepada penduduk Yahudi dan jutaan pelancong dari seluruh dunia untuk melawat kawasan ini sepanjang masa,” Kata Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett.
Beliau mendakwa pelan lima tahun yang diluluskan tersebut akan digunakan bagi menaik taraf infrastruktur yang diperlukan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP) senada mengecam langkah rejim Zionis dan menyifatkan pencerobohan berterusan di Masjid al-Aqsa adalah perbuatan memprovokasi rakyat Palestin.
Malah, PFLP berpandangan, tindakan berkenaan mungkin mencetuskan intifada yang baharu.
“Isu Masjid al-Aqsa adalah sensitif kepada rakyat Palestin,” katanya. – Agensi