Berita Utama

‘Konspirasi politik’, ADUN Sedili nafi tuduhan gangguan seksual

Tuduhan untuk jatuhkan maruah, calar reputasi sebagai wakil rakyat

JOHOR BAHRU, 15 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain menafikan tuduhan berhubung gangguan seksual yang didakwa seorang wanita menerusi laporan polis, semalam.

“Ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi saya selaku seorang wakil rakyat.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dalam laporan itu.

“Saya bersedia untuk memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Rasman berkata, pada pukul 2 petang 17 Januari, beliau dimaklumkan terdapat satu laporan polis dibuat terhadap oleh seorang individu yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kota Tinggi.

Justeru, beliau telah mengadakan perbincangan dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imej dirinya.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang ADUN di Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan dakwaan salah laku ADUN terbabit, terhadap wanita berumur 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.

Rasman bagaimanapun menegaskan, konspirasi politik seperti itu tidak akan sekali-kali melemahkan semangat beliau untuk terus berjuang dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya melalui mandat rakyat.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/01/17/polis-siasat-laporan-wanita-diganggu-secara-seksual-oleh-adun-johor/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button