Berita Utama

Suri rumah rugi RM87,000 ditipu Macau Scam

Sedar ditipu selepas buat semakan baki di akaun bank

SIBU,15 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Seorang suri rumah di sebuah perkampungan nelayan di Igan, Bahagian Mukah dekat sini membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Sibu semalam, selepas mengalami kerugian lebih RM87,000 yang termasuk wang simpanannya dalam Tabung Haji, apabila menjadi mangsa terbaru Macau Scam baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Dr Collin Babat dalam kenyataan hari ini berkata, ia bermula apabila suri rumah berumur 50-an itu menerima panggilan daripada seorang wanita bernama ‘Mastura’ yang kononnya mendakwa nama suri rumah itu digunakan untuk membuat tuntutan insurans RM76,000.

Beliau berkata, suri rumah itu percaya kononnya bagi menangguhkan “waran tangkap” dan mengelak akaun dibekukan, dia diminta membuka akaun baharu di samping turut diminta menyerahkan maklumat mengenai akaun berkenaan serta akaun Tabung Hajinya.

Katanya, wanita itu kemudiannya diarahkan membuat lima transaksi tunai ke akaun berkenaan dari tempoh 13 Dis hingga 4 Jan lepas melibatkan jumlah keseluruhannya RM61,000.

Menurutnya wanita itu sedar ditipu hanya selepas membuat semakan baki di akaun bank berkenaan dan mendapati RM61,000 telah lesap, manakala wang RM26,138 dalam akaun Tabung Haji juga telah tiada.

Collin berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjebak dengan tipu helah apabila dihubungi orang tidak dikenali, yang mengaku kononnya pegawai polis, peguam, wakil insurans dan sebagainya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button