Berita Utama

Terus perkasa sekolah kebangsaan, jangan layan penentang perpaduan!

Buka kelas bahasa pilihan di SK, bukan di sekolah vernakular

BANGI, 15 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Tindakan pihak tertentu mempertahankan sekolah vernakular kononnya atas alasan supaya bahasa ibunda mereka tidak hilang begitu tidak masuk akal.

Hakikatnya kerana sekolah vernakular, agenda memartabatkan bahasa kebangsaan dilihat semakin mustahil untuk berlaku.

Bahkan, penguasaan bahasa Melayu di sekolah vernakular juga semakin parah.

Atas dasar itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Cikgu Izzat Johari menggesa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak melayan permintaan sesiapa sahaja berkaitan sekolah vernakular, sebaliknya terus memperkasakan sekolah kebangsaan.

Bahkan, beliau mengesyorkan kelas Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil diwujudkan sebagai bahasa pilihan.

“Jika isu bahasa, rasanya ramai rakyat berbangsa Melayu yang fasih berbahasa Mandarin malah ingin anak masing-masing mempelajari Bahasa Mandarin tetapi tiada di peringkat sekolah kebangsaan.

“Jadi, langkah dan jalan penyelesaian bagi isu pembelajaran Bahasa Mandarin adalah dengan membuka kelas bahasa pilihan dalam sekolah kebangsaan dan bukannya membuka sekolah vernakular,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan golongan yang mempertahankan sekolah vernakular sebagai penentang perpaduan sebenar.

“Kepada Dong Zong, MCA, DAP dan GERAKAN, jangan harap anda mahu mendesak kerajaan sedia ada.

“Kepada Perdana Menteri, jangan layan permintaan penentang perpaduan Keluarga Malaysia. Teruskan perkasa sekolah kebangsaan,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button