Berita Utama

Ugut, ancam bunuh Ayob Khan hanya kerana lepaskan geram: KPN

Tetap menyalahi undang-undang kerana ugut seseorang adalah kesalahan

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Individu yang mengugut dan mengancam untuk membunuh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, hanya mengugut untuk melepaskan geram dan tidak lebih daripada itu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Bagaimanapun beliau berkata, perbuatan berkenaan tetap menyalahi undang-undang kerana sebarang ugutan yang ditujukan kepada seseorang, merupakan satu kesalahan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menahan dan mendakwa mereka yang terlibat (mengugut seseorang). Oleh itu, saya menasihatkan Ayob Khan agar berjaga-jaga. Begitu juga dengan saya yang juga menerima ugutan bunuh,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata, apa jua ancaman, beliau sedia untuk menghadapinya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Polis Johor sedang menyiasat kes ugutan bunuh ke atas Ayob Khan yang dipercayai melibatkan tiga ahli kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata vest pasukan polis peronda (MPV) yang baharu dengan keupayaan menahan kesan tikaman dan kalis peluru, adalah langkah PDRM dalam mengurangkan impak kecederaan kepada anggota.

“Selama ini, memang ada dibekalkan (vest) namun ia telah uzur dimamah usia, maka dengan vest-vest kalis peluru berteknologi baru ini, ia akan lebih ringan dan lebih baik. Jadi PDRM akan terus berusaha mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuat pemerolehan.

“Bukan setakat vest kalis peluru sahaja, saya memohon petugas-petugas di bawah dibekalkan dengan kamera badan, pistol perenjat elektrik (tesser gun) supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan selamat dan cekap,” katanya.

Abdul Hamid berkata, beliau mahu mengurangkan kecederaan anggota yang melaksanakan sebarang tangkapan atau operasi.

“Saya mengalu-alukan apabila peruntukan diperoleh untuk membeli vest-vest baru ini. Maka penggunaannya ialah barisan hadapan iaitu peronda MPV, kerana mereka ini yang akan turun ke lapangan, tempat kejadian. Merekalah paling layak diutamakan dengan vest-vest.

“Setakat ini, ia masih dalam proses dan PDRM akan terus memohon dengan KDN untuk mengingatkan KDN bahawa PDRM amat memerlukannya,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button