Berita Utama

Agong berkenan tubuh RCI siasat isu Tabung Haji

Enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif

KUALA LUMPUR, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Beliau berkata, Seri Paduka juga memperkenan pelantikan enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi.

Lima lagi ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman, Pengasas Kumpulan RHB Tan Sri Abdul Rashid Hussain, bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Norsyahrin Hamidon.

Wan Junaidi berkata, ahli RCI yang dilantik merupakan tokoh berwibawa, mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing iaitu kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam serta perakaunan.

“Mereka yang dilantik ini telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.

“Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama serta mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak yang berkaitan,” menurutnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelantikan itu berkuat kuasa mulai esok hingga 19 Julai dan suruhanjaya itu diberikan tempoh enam bulan bagi melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Al-Sultan Abdullah.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button