Berita Utama

N. Sembilan belum cadang benarkan rapat saf solat berjemaah

Mengambil kira situasi semasa jangkitan COVID-19

SEREMBAN,16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Kerajaan Negeri Sembilan belum bercadang membenarkan susunan saf ketika solat berjemaah dirapatkan bagi masjid dan surau di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, mana-mana pandangan daripada pihak berkaitan berhubung perkara itu juga masih belum diterima setakat ini, selain turut mengambil kira situasi semasa jangkitan COVID-19 yang masih merekodkan kira-kira 100 kes sehari di negeri ini.

“Terdapat golongan berusia yang datang ke masjid dan kebolehjangkitan itu adalah tinggi sekali gus membahayakan nyawa dan berisiko untuk dijangkiti.

“Saya berpandangan menjaga kesihatan lebih penting buat masa ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, hari ini.

Beberapa negeri sebelum ini, termasuk Perlis kembali merapatkan saf di masjid dan surau manakala Johor pula memendekkan jarak fizikal antara jemaah daripada satu meter kepada setengah meter.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan meneruskan dasar diskaun 15 dan 25 peratus terhadap bayaran premium tanah pertanian yang diluluskan untuk ditukar syarat kepada projek hartanah.

Beliau berkata, permohonan penukaran status tanah tersebut akan diteruskan sepanjang tahun ini berbanding sebelum ini yang hanya menetapkan permohonan dibuat dalam tempoh enam bulan sekali.

Jelasnya, diskaun sebanyak 25 peratus akan diberikan kepada pemaju yang menjelaskan bayaran premium dalam tempoh 30 hari selepas kelulusan pertukaran diperoleh manakala diskaun 15 peratus kepada yang membuat bayaran premium dalam tempoh 60 hari.

“Ini berikutan kita ingin memastikan pembangunan negeri berjalan dengan lancar selain meneruskan agenda baharu sekali gus dapat merangsang pelaburan ke negeri ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button