Berita UtamaDunia

4 maut, puluhan cedera dalam serangan bom bunuh diri di kedai teh Mogadishu

Al-Shabab mengaku bertanggungjawab atas serangan

MOGADISHU, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan puluhan lagi cedera di sini, akibat pengeboman bunuh diri di sebuah kedai teh berhampiran pangkalan tentera, kata agensi berita SONNA yang dikendalikan kerajaan.

Penyerang dilaporkan masuk ke kedai teh Mogadishu dan meletupkan jaket berisi bahan letupan, kata pegawai polis Abdirahman Adan kepada agensi berita AFP.

Seorang penduduk, Ahmed Ismail berkata, dia mendengar letupan itu dan berlari ke tempat kejadian untuk mengetahui apa yang berlaku sebelum dihalang oleh tentera, lapor agensi berita Reuters.

Jurucakap kerajaan Somalia, Mohamed Ibrahim Moalimuu yang cedera di tempat kejadian, dibantu untuk pemindahan perubatan ke Turki di Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Abdulle Osman di Mogadishu

“Seorang pengebom bunuh diri menyasarkan kedai teh yang di dalamnya terdapat askar Somalia yang dilatih oleh Turki,” kata jurucakap operasi tentera al-Shabab, Abdiasis Abu Musab kepada Reuters, dengan mendakwa bahawa jumlah mangsa yang terkorban dan cedera ialah 20 orang.

Kumpulan bersenjata al-Shabab mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, semalam.

Serangan berlaku hanya dua hari selepas jurucakap kerajaan Somalia cedera dalam pengeboman di Mogadishu yang juga diakui oleh al-Shabab.

Pada 12 Januari, beberapa orang maut dalam letupan bom kereta berani mati dalam serangan berasingan yang menyasarkan bahagian sibuk ibu kota.

Serangan bertimpa-timpa berlaku ketika Somalia dihimpit krisis politik disebabkan oleh perselisihan faham berpanjangan mengenai pilihan raya yang tertunda.

Al-Shabab kerap melakukan pengeboman dan serangan senjata api di Mogadishu serta tempat lain di Somalia, dan telah memerangi kerajaan pusat yang lemah selama lebih sedekad.

Pejuang yang dikaitkan dengan al-Qaeda itu telah dihalau keluar dari Mogadishu pada 2011 selepas serangan oleh pasukan Kesatuan Afrika, tetapi mereka masih mengawal kawasan yang luas di luar bandar Somalia, dari mana mereka melancarkan serangan tetap. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button