Desakan PRN Johor serlah sifat tamak parti tertentu
UMNO takut jika tak segerakan PRU15 beri kesan pada pemimpin terpalit kes mahkamah?

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak tahun lalu, kini Johor pula dikhabarkan ‘sibuk’ menentukan parti mana yang bakal menerajui kerajaan negeri.
Ada parti yang mendakwa, PRN perlu diadakan demi memastikan kestabilan kerajaan negeri, kononnya tindakan yang bertanggungjawab untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.
Pada masa sama, ada juga parti yang menolak, tidak setuju terhadap sebarang usaha untuk mengadakan PRN dalam masa terdekat – kerana menganggap banyak lagi isu rakyat masih belum selesai.
Atas sebab itu, parti BERJASA menyifatkan isu ketidakstabilan politik di Johor tidak timbul, memandangkan pembangkang jelas menyatakan komitmen mereka selain menolak pelaksanaan PRN.
Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim berkata, desakan PRN Johor bukan mendahulukan isu rakyat, sebaliknya semata-mata untuk memastikan agenda parti dan kelangsungan kerjaya politik individu tertentu.
“PRN Johor adalah strategi untuk mengelakkan UMNO terbelah dua. Ada terdengar usaha untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta pimpinan Bersatu akan memberikan sokongan kepada UMNO pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Apabila pimpinan Bersatu bekerjasama dengan UMNO pimpinan Ismail Sabri, maka PAS juga akan turut bersama dengan kerjasama tersebut.
“Inilah yang dinyatakan oleh pimpinan PAS bekerjasama dengan Muafakat Nasional dan terus memperteguhkan hubungan dengan Perikatan Nasional,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata, PRN Johor juga dilihat sebagai satu desakan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) segera diadakan.
Katanya, UMNO cukup bimbang sekiranya PRU15 tidak disegerakan kerana pergolakan dalaman akan memberi kesan yang tidak menguntungkan parti itu, khususnya bagi beberapa pemimpin yang sedang terpalit dengan kes mahkamah.
“BERJASA melihat PRN Johor tidak lebih daripada menzahirkan ketamakan pimpinan parti itu sendiri.
“Di samping itu juga, menggambarkan sebuah parti yang sudah hilang hala tuju dan agenda rakyat,” katanya.
Oleh itu, Haji Zamani berkata, PRU15 adalah peluang untuk rakyat memilih pemimpin daripada parti yang membawa agenda segar untuk mereka, selain menyingkirkan pemain politik muka lama yang tiada agenda.
Ini kerana katanya, barisan politikus lama ini tidak akan berundur daripada pentas politik kecuali dengan kuasa rakyat untuk mengundurkan mereka.
“Mereka hanya fikir PRN sahaja sedangkan rakyat masih memikirkan tentang kelangsungan hidup. Kekayaan parti disimpan untuk kegunaan PRN sedangkan rakyat perlu dibantu.
“Mereka tidak peduli kesusahan rakyat lagi sebaliknya mereka lebih mengutamakan nasib politik diri sendiri untuk terus berkuasa dan menjadi kaya,” katanya.
Spekulasi mengenai PRN Johor timbul susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Datuk Seri Osman Sapian daripada Bersatu pada 21 Disember lalu, yang menyaksikan kerajaan negeri kini memerintah dengan hanya kelebihan satu kerusi majoriti di DUN Johor.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi yang terdiri daripada UMNO dan DAP masing-masing memiliki 14 kerusi, Bersatu (11 kerusi), MIC (2), PAS (1), Parti Amanah Negara (6) dan PKR (7).
Pautan berkaitan:
PRN Johor mungkin gerakan awal BN ‘bersihkan’ saingan politik