Uncategorized

Dos penggalak: Golongan rentan disaran dapatkan nasihat doktor

Penyakit terkawal boleh dapatkan vaksin di hospital: Dr Noor Hisham

BANGI, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Ketua Pengarah Kesihatan menyarankan golongan rentan seperti warga emas dan individu berpenyakit untuk mendapatkan nasihat daripada doktor masing-masing berhubung pemberian vaksin serta dos penggalak.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan di Facebook berkata, golongan berkenaan perlu memastikan penyakit mereka terkawal dan stabil.

Beliau berkata, bagi individu yang berisiko tinggi namun penyakitnya terkawal dan stabil boleh mendapatkan vaksin di hospital.

“Kepada golongan rentan iaitu warga emas dan mereka yang ada penyakit berjangkit atau tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, kanser dan lain-lain.

“Pastikan penyakit anda terkawal dan stabil. Dapat nasihat daripada doktor masing-masing sama ada boleh diberikan vaksin dan dos penggalak.

“Mereka yang berisiko tinggi tetapi penyakit terkawal dan stabil boleh mendapatkan vaksin di hospital,” katanya.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan pemberian dos penggalak atau dos ketiga vaksin COVID-19 kerana dibimbangi mempunyai kesan yang serius terhadap kesihatan.

“Saya tidak menafikan peranan vaksin sebelum ini yang sudah mengurangkan risiko COVID-19, tapi saya bercakap apa yang sedang dialami oleh ramai pada dos yang ketiga ini.

“Penafian atau ‘state of denial’ tidak berfaedah jika masyarakat melihat realiti sebenar di hadapan mata mereka dan biarlah ada panduan jelas siapa yang layak dan siapa tidak layak ambil dos ketiga ini,” kata Mohd Asri.

Mohd Asri atau turut dikenali sebagai Dr Maza juga mendakwa, sudah banyak aduan mengenai kesan serius selepas pengambilan dos ketiga vaksin COVID-19.

Keraguan terhadap dos penggalak timbul selepas wujud kebimbangan orang ramai termasuk Mohd Asri sendiri susulan bapanya dimasukkan ke hospital lebih seminggu apabila tahap kesihatan merosot selepas mendapat dos penggalak.

Beliau mendakwa bapanya muntah dan menjadi sangat lemah selepas menerima suntikan dos penggalak, selain sekali lagi diserang angin ahmar pada bahagian sensitif di kepalanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button