Berita Utama

Kedah hapus kira pinjaman pendidikan SPPNK babitkan 45 peminjam

Tambah peruntukan RM1 juta bantu pelajar lanjut pengajian di IPT awam, swasta

ALOR SETAR, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Kedah bersetuju menghapuskan kira pinjaman Pendidikan Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah (SPPNK) bernilai RM631.657.14.

Penghapusan berkenaan membabitkan 45 peminjam dan inisiatif dibuat atas beberapa faktor termasuklan peminjam meninggal dunia, sakit kronik.

Selain itu, penukaran pinjaman kepada pelajar cemerlang serta pemberian pengurangan bayaran balik diskaun 50 peratus, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Bermula Ogos 2021 sehingga Disember 2021, hapus kira pinjaman atas faktor peminjam meninggal dunia telah diberikan kepada waris dan penjamin seorang peminjam SPPNK yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

“Sehingga 4 Disember lepas, empat peminjam yang menghidap penyakit kronik juga telah diberikan hapus kira pinjaman SPPNK mereka,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Insentif hapus kira turut diberikan melibatkan pinjaman berubah kepada biasiswa bagi peminjam yang mendapat keputusan cemerlang dengan PNGK 3.75 ke atas bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta dalam negara.

“Pemberian pengurangan bayaran balik pinjaman sebanyak 50 peratus pula diberikan kepada peminjam yang mendapat PNGK 3.5 sehingga 3.74 bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta dalam negara,” katanya.

Dalam masa sama, garis panduan baharu Perjanjian Pinjaman Tahun 2022 telah dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah.

Katanya, berdasarkan garis panduan baharu, peminjam dengan keputusan PNGK 3.75 ke atas bakal mendapat diskaun 50 peratus dan diskaun 25 peratus bagi mereka memperoleh PNGK 3.50 hingga 3.74.

Malah, kerajaan negeri turut bersetuju menambah RM1 juta lagi peruntukan untuk bantuan pelajar melanjutkan pengajian di IPT awam dan swasta dalam negara sahaja.

“Setiap mereka akan mendapat RM300 dengan syaratnya mereka rakyat Kedah, dilahirkan di Kedah dan bermastautin di negeri ini.

“Tetapi kita juga selaras dengan pejabat zakat, kalau dia dapat bantuan daripada pejabat zakat dia tak boleh mohon dah yang ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button