Berita UtamaIstimewa

Mustahil dihapuskan, vernakular perlu dijinak supaya lebih bersifat nasional: Prof Kok Seong

Kaum Cina sukar setuju ajar Mandarin di SK, mahu anak mereka perkasa dengan budaya Cina

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Cadangan pelaksanaan pengajaran bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan (SK) sebagai alternatif untuk memansuhkan sekolah vernakular adalah baik, namun realitinya ia sukar diterima kaum Cina.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, syor tersebut pernah diutarakan sebelum ini tetapi tidak popular di kalangan pelajar dan ibu bapa, khususnya kaum Cina.

Ini kerana, katanya, mata pelajaran bahasa Cina di SK lebih ringkas dan tidak begitu mendalam seperti di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

“Ia bakal menjadi lebih ringkas, dan hanya lebih ke arah pendekatan komunikasi supaya boleh bertutur dalam bahasa Cina.

“Namun ini tidak akan dipersetujui ibu bapa Cina. Mereka nak anak mereka belajar sukatan pelajaran yang lebih bersifat kebudayaan Cina, seperti mana silibus di SJKC yang lebih berat.

“… dimasukkan unsur budaya, bahasa Cina yang lebih dalam sifatnya, rumit sifatnya untuk diajar dan dipelajari. Bahkan, mata pelajaran lain semua diajar dalam bahasa Cina. Itu memperkukuhkan lagi pengetahuan dan pemerkasaan pelajar dalam bahasa Cina,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dek kerana itu, Prof Kok Seong berkata, jalan menghapuskan sekolah vernakular adalah sukar dan hampir mustahil.

Beliau berkata, meskipun suatu hari nanti sekolah vernakular tidak lagi menjadi entiti kerajaan, ia tetap akan terus wujud kerana pembiayaan daripada masyarakat Cina tidak akan pernah putus.

Namun, tegasnya, apa yang boleh diusahakan adalah menjadikan ia lebih bersifat nasional.

“Andai kata mahkamah nanti tetapkan ia tidak sah, ia masih akan terus wujud dalam bentuk sekolah swasta. Masyarakat Cina tak akan terus tinggalkan sekolah Cina.

“Jadi masalah utama sekarang adalah sekolah vernakular dilihat sebagai antinasional. Kita nak kena jinakkan dia menjadi lebih bersifat kebangsaan.

“Strategi kita yang sebetulnya adalah untuk mengimbangi. Kita kena cari jalan mengimbangi sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan,” katanya.

Pada 16 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular dan sistem pengajaran di sana yang menggunakan bahasa lain selain bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, adalah kedua-duanya sah di sisi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pihak peguamcara kesemua plaintif akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Rayuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button