Berita Utama

Nelayan warga asing perlu mohon Pas PLKS mulai Januari

Moratorium vesel penangkapan ikan tempatan setakat 31 Disember 2021

BANGI, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas semua nelayan warganegara asing yang masih gagal memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) mulai Januari 2022.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkata, tindakan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing, kali ke-5 Bilangan 1 Tahun 2021.

Katanya, mesyuarat itu memutuskan supaya moratorium untuk memperolehi PLKS diberikan kepada warganegara asing yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan sehingga 31 Disember 2021 sahaja.

“Selepas tarikh tersebut, PLKS jangka pendek adalah diwajibkan bagi semua warganegara asing yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan.

“Untuk rekod, sehingga 31 Disember 2021, sebanyak 6,000 permohonan PLKS kepada nelayan warganegara asing telah diluluskan daripada sejumlah 6,298 permohonan yang dikemukakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

JIM berkata, kadar bayaran PLKS bagi sub sektor perikanan atau nelayan adalah berjumlah RM505, dan tambahan RM500 akan dikenakan untuk setiap permohonan baharu, bagi tujuan bayaran pertukaran Pas.

“Sehubungan itu, jabatan ini menasihatkan kepada semua majikan untuk memastikan semua pekerja masing-masing memiliki PLKS yang sah dan berurusan terus dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia tanpa melalui pihak ketiga,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button