Dunia

Perintah darurat di Kazakhstan berakhir

225 maut akibat protes ganas kenaikan harga LPG

NUR SULTAN, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Perintah darurat yang diisytiharkan pada 5 Januari lalu di Kazakhstan susulan pergolakan yang melanda negara ini, berakhir semalam.

Penamatan perintah darurat itu sekali gus mengembalikan kehidupan normal kepada penduduk khususnya di ibu negara Nur Sultan, termasuk di bandar besar lain seperti Almaty, wilayah Atyrau, Jambyl, Kyzylorda dan Mangistau.

Langkah keselamatan di jalanan turut ditarik balik, termasuk dengan perintah berkurung yang dikenakan untuk waktu-waktu tertentu.

Selain itu, sekatan perjalanan masuk dan keluar dari bandar juga ditarik balik.

Jurucakap akhbar Presiden Berik Uali dalam satu kenyataan berterima kasih atas perpaduan rakyat serta tindakan pasukan keselamatan dan penguat kuasa undang-undang yang sanggup mengorbankan nyawa demi memastikan keamanan serta ketenteraman seluruh Kazakhstan.

Pergolakan di negara ini tercetus selepas protes aman bertukar kepada pemberontakan ganas, sebelum perintah darurat diisytiharkan pada 5 Januari lalu.

Bagaimanapun, perintah itu ditarik balik pada 13 Januari membabitkan beberapa wilayah sebelum tempoh yang sepatutnya ditetapkan.

Sekurang-kurangnya 225 orang terbunuh dalam pergolakan itu susulan bantahan terhadap peningkatan harga gas petroleum cecair (LPG) di Kazakhstan, namun tindakan kerajaan mengurangkan harga bahan komiditi itu gagal memuaskan hati peserta demontrasi.

Protes yang bermula 2 Januari itu kemudian bertukar menjadi pertempuran dengan polis, di mana suasana paling ganas berlaku di Almaty. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button