Berita Utama

Prof Dr Haim Hilman dilantik Naib Canselor UUM

Gantikan Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani yang menerajui universiti sejak 2018

KUALA LUMPUR, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Haim Hilman Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang baharu, berkuat kuasa Isnin lepas (17 Januari).

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebagai universiti berfokus pengurusan yang cemerlang, pihaknya percaya dengan segala pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti Haim Hilman untuk menggalas tanggungjawab diberikan.

Beliau berkata, kementerian juga percaya Haim Hilman mampu meneruskan kesinambungan UUM sebagai pusat kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan perundingan yang terkemuka dalam bidang pengurusan di dalam dan luar negara.

“Kementerian juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau menerajui UUM selama tiga tahun sejak 2018,” katanya.

Haim Hilman, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom.

Beliau turut memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik pada 2010 dari Universiti Putra Malaysia (UPM). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button