Berita Utama

Sistem gaji tak distruktur sejak 2002 punca gaji penjawat awam rendah

Kuasa beli makin mengecil, tapi harga barang terus meningkat

KUALA LUMPUR, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Sistem penggajian dan saraan yang tidak dikaji dan distruktur semula sejak 2002 menyebabkan penjawat awam menerima gaji rendah.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata, seramai 800,000 penjawat awam di negara ini tergolong dalam kumpulan penerima gaji lebih rendah daripada Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Katanya, penjawat awam dengan gred lantikan 19 masih memperoleh pendapatan di bawah RM2,000.

Gaji itu sudah termasuk Bantuan Sara Hidup (COLA), Imbuhan Tetap Perumahan dan Elaun Khidmat Awam.

Berikutan itu, Adnan menggesa kerajaan untuk menyegerakan kajian semula terhadap sistem penggajian dan saraan penjawat awam.

Ini kerana, ia disifatkan sudah tidak relevan dengan kenaikan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung kini.

“Daripada 1.62 juta penjawat awam, 800,000 daripadanya terdiri daripada golongan B40 iaitu mereka dengan gred 19 yang jika terlantik, gaji permulaan diterima hanyalah RM1,208.

“Jika ditambah COLA dan pelbagai elaun lagi, pendapatan mereka hanya mencecah RM1,950 dan ia masih di bawah PGK ditetapkan iaitu RM2,208.

“Jadi, kerajaan perlu segera ubah sistem penggajian dan saraan yang tidak relevan sekarang kerana sudah berlangsung selama 20 tahun,” katanya.

Keadaan gaji tidak naik itu, katanya, menyebabkan kuasa membeli penjawat awam semakin mengecil sedangkan harga barang terus meningkat. 

“Ini sememangnya memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button