Berita Utama

Tambah bilangan lorong RFID elak sesak

Syor kerjasama pihak bank sambung e-dompet dengan akaun bank pengguna

BANGI, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Kutipan tol secara elektronik melalui perkhidmatan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) khususnya di Lembah Klang perlu penambahbaikan bagi memastikan objektif pelaksanaan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya.

Walaupun inisiatif pelaksanaan RFID lebih senang dan selamat berbanding Touch’n Go (TNG) serta SmartTAG, keberkesanan sistem pemancar dan pengimbas tag sedia ada perkhidmatan itu antara isu yang perlu diberikan perhatian.

Ini kerana, tag sedia ada memaksa pengguna tol memperlahankan kenderaan mereka ketika memasuki lorong RFID bagi membolehkan imbasan tepat, kata Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Dr Mohd Hafiz Zulfakar.

“Ada juga mengeluh tag dipasang tidak dapat dikesan dan dibaca ketika melalui plaza tol. Ini mengakibatkan mereka terpaksa berhenti dan mengundur beberapa kali.

“Sekiranyan masih gagal, mereka terpaksa mengundur untuk menukar laluan bagi menggunakan kad TNG,” katanya.

Beliau dalam tulisan di Berita Harian hari ini berkata, suasana itu akan mengakibatkan kesesakan selain perasaan panik kepada sesetengah pemandu, sekali gus mendatangkan risiko kemalangan di plaza tol.

“Jumlah lorong RFID di plaza tol juga perlu ditambah bagi melancarkan transaksi. Ketika ini majoriti plaza tol hanya mempunyai satu sahaja lorong untuk transaksi tol kaedah berkenaan.

“Ini jelas tidak mencukupi ketika berdepan waktu puncak harian atau ketika musim perayaan, terutama sekiranya berlaku situasi kegagalan imbasan tag,” katanya.

Bukan sekadar itu, Dr Mohd Hafiz berkata, kesesakan di lorong RFID juga boleh berlaku apabila pengguna leka memastikan jumlah wang baki secukupnya dalam akaun e-dompet, disebabkan sistem sedia ada tidak akan membenarkan duit ditolak sekiranya jumlah minimum bayaran tidak mencukupi.

Justeru, bagi mengatasi masalah itu, beliau mencadangkan supaya membenarkan kutipan baki negatif pada kadar maksimum tertentu, yang boleh ditebus semula ketika tambah nilai seterusnya.

“Justeru, tiada kelibat kenderaan terpaksa ‘bersidai’ sementara menunggu pekerja plaza tol untuk menjelaskan bayaran.

“Selain itu, kerjasama dengan pihak bank boleh diwujudkan agar e-dompet disambung terus ke akaun simpanan pengguna seperti dilaksanakan di negara Kesatuan Eropah (EU) dan Australia,” katanya.

Menurut Dr Mohd Hafiz, sistem pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR) juga dikhabarkan akan diperkenalkan secara berperingkat, seiring dengan pelaksanaan sistem RFID.

Katanya, jika sistem ANPR boleh diintegrasikan dengan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sistem kutipan tol boleh dilaksanakan lebih efektif.

“Hal ini sudah digunakan di Melbourne dengan kutipan tol dikutip melalui bil dihantar terus ke alamat rumah pengguna berdasarkan maklumat diperoleh daripada sistem ANPR dan senarai daftar hak milik kenderaan.

“Langkah kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya ini wajar diberi sokongan khususnya pengguna lebuh raya.

“Inisiatif penambahbaikan seperti terkandung dalam Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar berhasrat mewujudkan sistem pengangkutan lancar untuk rakyat serta memastikan aksesibiliti dan mobiliti rakyat ke tahap terbaik,” katanya.

Rujukan: 

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2022/01/913178/tambah-baik-keberkesanan-sistem-rfid-elak-plaza-tol-sesak

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button