Berita Utama

‘Tiada kuasa, tak boleh dedah apa berlaku di sebalik pemecatan Khairuddin’

Serah pada pucuk pimpinan parti beritahu punca sebenar

BANGI, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Pengerusi Lajnah Dakwah PAS, Nasrudin Hassan menasihati Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali supaya tenang, akur dan menerima pengguguran daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) selepas kurang dua bulan dilantik memegang jawatan itu.

Beliau percaya banyak perkara yang boleh dilakukan Khairuddin untuk Islam dan perjuangan tanpa memegang jawatan.

“Saya menasihatkan beliau supaya terima, akur dan tenang dengan pemecatan itu, walaupun tidak lagi sebagai Ahli AJK PAS Pusat, Khairuddin masih lagi memegang jawatan sebagai Setiausaha Majlis Syura.

“Kerja-kerja Islam ini bukan semestinya kena ada jawatan kerana tanpa jawatan pun kita boleh laksanakan amal Islam dengan terbaik,” katanya seperti dilapor Utusan Online, hari ini.

Nasrudin pada masa sama yakin Ahli Parlimen Kuala Nerus itu sudah boleh menerima pemecatan tersebut dan tidak timbul masalah berbangkit.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, tidak boleh mendedahkan apa yang berlaku di sebalik pemecatan itu berikutan tiada kuasa.

Malah, menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti untuk mendedahkan punca sebenar pemecatan jawatan berkenaan.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Khairuddin dipecat sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan katanya, pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam parti, termasuk diberhenti atau ditukarkan.

Bahkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan menolak alasan pengguguran disebabkan perselisihan antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pautan berkaitan:
https://ismaweb.net/2022/01/18/publik-berhak-tahu-sebab-pas-gugurkan-khairuddin/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button