Tunisia lanjut tempoh darurat sebulan lagi
Kumpulan hak asasi sifatkan sekatan sebagai pelanggaran hak

TUNIS, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Presiden Tunisia, Kais Saied melanjutkan tempoh darurat negara ini selama sebulan lagi, lapor Agensi Berita Anadolu.
Ia diumumkan akan berlanjutan sehingga 18 Februari, menurut sumber rasmi Tunisia.
Saied sebelum ini melanjutkan tempoh darurat – pada 24 Julai, selama enam bulan.
Tunisia pertama kali mengumumkan keadaan darurat pada 2015, berikutan serangan pengganas. Sejak itu, ia telah dilanjutkan oleh pihak berkuasa.
Di bawah langkah-langkah ini, Kementerian Dalam Negeri diberikan kuasa kecemasan untuk menghentikan mesyuarat dan perhimpunan, mengenakan perintah berkurung dan mengekang organisasi media.
Bagaimanapun, menurut kumpulan hak asasi manusia, sekatan ini merupakan pelanggaran hak asasi manusia dan penyalahgunaan yang meluas. – Agensi