Berita UtamaDunia

618 petugas perubatan Thailand dijangkiti COVID-19, selepas terima 2 dos vaksin Sinovac

Panel pakar perubatan syor dos ke-3 untuk capai imuniti

BANGKOK, 1 Zulhijjah 1442H, Ahad – Lebih 600 orang petugas perubatan yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Sinovac China telah dijangkiti COVID-19, kata Kementerian Kesihatan Thailand hari ini.

Data kementerian itu dari April hingga Julai menunjukkan, daripada 677,348 kakitangan perubatan yang menerima dua dos Sinovac, 618 antaranya dijangkiti.

Seorang jururawat telah meninggal dunia dan seorang lagi kakitangan dalam keadaan kritikal.

Berikutan itu, pihak berkuasa mempertimbangkan pemberian dos tambahan bagi meningkatkan imuniti.

Panel pakar mengesyorkan dos ketiga untuk mencapai imuniti bagi kakitangan perubatan yang berisiko, kata pegawai kanan kesihatan, Sopon Iamsirithawon, pada sesi taklimat berita.

“Ini akan menjadi vaksin yang berbeza, sama ada vektor virus AstraZeneca atau vaksin mRNA, yang akan diterima Thailand dalam waktu dekat,” katanya sambil menambah bahawa cadangan itu akan dipertimbangkan esok.

Pengumuman itu dibuat ketika negara Asia Tenggara itu melaporkan rekod tertinggi, 9,418 jangkitan komuniti pada Ahad.

Thailand melaporkan 336,371 kes disahkan dijangkiti dan 2,711 kematian sejak pandemik itu bermula tahun lalu.

Majoriti kakitangan perubatan dan barisan hadapan Thailand diberi suntikan Sinovac selepas Februari bersama vaksin vektor virus daripada AstraZeneca.

Thailand mengharapkan sumbangan sebanyak 1.5 juta vaksin Pfizer-BioNTech dari Amerika Syarikat (AS) akhir bulan ini dan telah memesan 20 juta dos yang akan dihantar selepas Oktober. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button